
Tuntutan itu melibatkan isu berkaitan pendidikan, kesihatan, royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah (Akta 750) serta hak negeri ke atas pelantar benua.
Fadillah berkata 13 tuntutan telah selesai termasuk sembilan di bawah pentadbiran sekarang manakala empat dimuktamadkan semasa pentadbiran terdahulu.
“Antara tuntutan yang telah diselesaikan di bawah pentadbiran kerajaan Madani adalah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan Sabah.
“Penyelesaian turut melibatkan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN dan pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Fadillah berkata platform perundingan MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim diwujudkan bagi meneliti tuntutan yang dikemukakan kerajaan Sabah dan Sarawak, berdasarkan perundangan dan pelaksanaan yang dipersetujui.
“Kerajaan Madani amat beriltizam untuk menyegerakan penyelesaian kepada semua tuntutan di bawah MA63 namun tempoh masa bagi penyelesaian setiap tuntutan adalah tertakluk kepada proses perundangan yang berkaitan.
“Selain itu, tahap kesediaan kerajaan Sabah dan Sarawak dari sudut operasi, sumber manusia dan kewangan juga merupakan antara aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu tuntutan di bawah MA63 dapat diselesaikan,” katanya.