
Persatuan Tindakan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Lestari (KLRA+SD) membentangkan cadangan itu kepada Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof di Parlimen hari ini, menjelang bacaan pertama rang undang-undang itu, dijangka Khamis.
KLRA+SD juga mencadangkan had dalam penggunaan prosedur pengambilan tanah yang menurut mereka berisiko disalah gunakan bagi ‘mengusir’ sebahagian kecil penduduk yang tidak bersetuju dengan pelan pembangunan semula.
Penasihat dasar kumpulan itu, Hun Jun Siew, berkata kedua-dua mekanisme itu wajar termaktub dalam peruntukan URA demi melindungi hak penduduk.
“Kami memberitahu TPM bahawa pengambilan tanah hanya boleh dilakukan dalam kes tertentu, misalnya apabila seorang penduduk telah meninggal dunia dan warisnya tidak dapat dikesan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata KLRA+SD turut mencadangkan URA menetapkan penduduk yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula diberi pampasan sama seperti mereka yang bersetuju.
Pampasan itu, katanya, perlu melebihi nilai hartanah pada masa tersebut dan mereka juga wajar dibenarkan ‘opt in’ jika kemudian bersetuju.
Hun berkata kumpulan itu turut mencadangkan kepada Fadillah supaya penilaian impak alam sekitar, sosial dan trafik dijadikan syarat mandatori bagi projek pembangunan semula, dan ia dilaksanakan oleh pihak bebas seperti PLANMalaysia.
“Fadillah menerima cadangan kami dengan baik dan menyatakan beliau akan membawanya kepada kementerian perumahan.
“Kami tidak menolak pembaharuan kawasan usang di bandar, tetapi ia mesti dilakukan dengan tetap menjaga hak semua penduduk,” katanya.
Cadangan undang-undang itu dipacu oleh kementerian perumahan dan kerajaan tempatan bagi menggantikan peraturan serta undang-undang lama yang mengawal pembangunan semula kawasan bandar yang daif.
Namun, pengkritik menegaskan ambang persetujuan yang direndahkan mungkin menjejaskan hak penduduk minoriti dengan memaksa mereka akur kepada majoriti yang mahu kawasan mereka dibangunkan semula.