
Fakulti itu diperkukuh dengan penubuhan Pusat Transformasi AI (AIX), inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang melabur RM32 juta manakala RM5 juta oleh MMU.
AIX akan menampilkan 13 makmal canggih sebagai hab inovasi, kerjasama kerajaan-industri-akademia, pembangunan PKS serta pemerkasaan luar bandar.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman itu disaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut melancarkan FAIE MMU yang menandakan pencapaian penting negara dalam memperkukuh keupayaan AI serta aplikasinya dalam pelbagai industri.
SKMM diwakili Pengerusinya Mohamad Salim Fateh Din manakala MMU oleh Presiden Mazliham Mohd Su’ud.
AIX turut menampilkan MCMC Intelligence Chair yang akan berfungsi sebagai kepimpinan strategik memacu daya saing global Malaysia dalam AI.
Sementara itu, Mazliham berkata fakulti baharu itu menumpukan kepada AI gunaan dengan tawaran program khusus termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan dan Robotik Pintar, selain program Sarjana dan PhD berfokuskan penyelidikan.
“Dengan FAIE, kami mempersiapkan pelajar menghadapi ekonomi yang dipacu AI. Graduan bukan sahaja kukuh dalam teori, tetapi mampu mereka bentuk, melaksana dan mengintegrasi penyelesaian AI untuk kegunaan praktikal,” katanya pada majlis pelancaran di Cyberjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, berkata AI bukan sekadar teknologi tetapi medan melahirkan generasi pemikir dan inovator baharu.
“FAIE adalah langkah penting untuk MMU dan TM dalam membina masa depan digital Malaysia serta memastikan manfaat AI dapat dirasai komuniti di seluruh negara,” katanya.