Kerajaan tingkat import babi hidup dari Sarawak, kawal harga akibat ASF

Kerajaan tingkat import babi hidup dari Sarawak, kawal harga akibat ASF

Wabak African Swine Fever (ASF) beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan harga daging babi kini cecah RM1,800 bagi setiap 100kg antara tertinggi di dunia.

babi bernama
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Arthur Joseph Kurup, berkata setakat ini sebanyak 1,600 babi hidup tiba di Pelabuhan Klang untuk penyembelihan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan mengimport babi hidup dari Sarawak, sebagai usaha mengawal peningkatan harga daging protein itu susulan wabak African Swine Fever (ASF) yang menjejaskan pengeluaran penternakan tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Arthur Joseph Kurup, berkata jumlah ternakan babi merosot ketara daripada 1.86 juta ekor pada 2021 kepada hanya 1.24 juta tahun lalu.

Katanya, perkembangan itu menyebabkan harga daging babi kini mencecah RM1,800 bagi setiap 100kg antara yang tertinggi di dunia.

“Setakat ini sebanyak 1,600 ekor khinzir hidup tiba di Pelabuhan Klang untuk tujuan penyembelihan.

“Ini akan membantu mengurangkan pengeluaran tempatan akibat ladang terkesan dengan wabak ASF dan kita jangka (import babi hidup) akan meningkat dalam bulan akan datang,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang mahu tahu langkah kerajaan menangani kenaikan mendadak harga daging babi dalam jangka pendek dan panjang.

Mengulas lanjut, Kurup berkata sebuah kawasan ternakan bersepadu sedang dibangunkan di Tongod, Sabah, dengan peruntukan RM26 juta yang menggunakan konsep ladang ternakan babi moden.

“Ladang ini akan dilengkapi ciri biosekuriti tinggi dan kawalan pencemaran yang lebih baik,” katanya.

Katanya, kerajaan juga giat mengadakan perbincangan dengan penternak, pengimport dan pengusaha rumah sembelih untuk menangani cabaran penyakit, kawalan harga dan bekalan daging babi secara berkesan.

Beliau juga memaklumkan kadar tahap sara diri (SSL) daging babi pada 2024 berada pada paras 67.8%, dan usaha sedang digerakkan bagi meningkatkannya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Malah, beliau berkata pendekatan ternakan tertutup dan ‘compartmentalisation’ akan dijadikan syarat wajib bagi pembaharuan lesen ladang babi.

“Kita akan ketatkan garis panduan ternakan untuk memastikan biosekuriti yang lebih tinggi. Ini penting bagi mengawal kemasukan penyakit dari luar dan meningkatkan hasil dalam negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.