
Veteran industri pelancongan, Tan Kok Liang, berkata zon pelaburan pelancongan merupakan ‘peluang keemasan untuk membawa masuk pelaburan, menaik taraf infrastruktur dan mewujudkan peluang ekonomi yang bermakna, khususnya di destinasi sekunder dan luar bandar’.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) mengenal pasti 43 kawasan yang berpotensi dijadikan zon pelaburan pelancongan khas sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tan, bekas presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), berkata perancangan pelancongan dalam RMK-13 merupakan kerangka kukuh untuk industri pelancongan.
Beliau juga menyeru supaya lebih banyak sumber diperuntukkan bagi latihan dan peningkatan kemahiran barisan hadapan seperti pemandu bas pelancong, pemandu pelancong dan juga pengusaha pelancong luar bandar.
Tan turut mencadangkan insentif cukai untuk pelancongan domestik, pembiayaan mikro serta program peningkatan kemahiran kepada usahawan kreatif dan budaya. Katanya, kebanyakan usahawan ini beroperasi secara kecil-kecilan namun menawarkan pengalaman autentik dan bernilai tinggi kepada pelancong.
Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan lembaga pembangunan pelancongan atau pemantau bebas untuk menyelaras usaha antara agensi, memantau pematuhan garis panduan kelestarian dan menyokong keputusan dasar.
“Industri pelancongan Malaysia sedang melonjak, tetapi kini masanya untuk beralih daripada pemulihan kepada mengwujudkan sesuatu yang baru. RMK-13 memberi kita laluan yang baik tetapi kita mesti pastikan orang yang tepat untuk mengemudi, dan semua negeri bergerak ke arah yang sama,” katanya.
Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang, Clement Liang, menyambut baik tumpuan kepada pelancongan lestari.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pemandu pelancong juga perlu mengamalkan pelancongan lestari dengan memastikan alam sekitar dipelihara ketika lawatan dijalankan.
RMK-13 turut menyatakan kerajaan akan memantau dan mengukur kelestarian kawasan pelancongan berdasarkan prinsip kelestarian untuk memenuhi piawaian antarabangsa.