Jawapan Warisan ‘kabur’, hanya tahu fitnah, kata Adun Kunak

Jawapan Warisan ‘kabur’, hanya tahu fitnah, kata Adun Kunak

Norazlinah Arif membidas Warisan kerana gagal memberi jawapan kukuh, sebaliknya menyerang peribadi dan menabur dakwaan terhadapnya.

ADUN Kunak Norazlinah Arif
Norazlinah Arif tidak gentar mendedahkan kelemahan Warisan supaya rakyat dapat membuat keputusan terbaik.
PETALING JAYA:
Adun Kunak, Norazlinah Arif, membidas Warisan yang didakwa gagal menjawab persoalan dikemukakannya, termasuk dakwaan pengkhianatan parti itu menerusi pembabitan dalam ‘Langkah Kinabalu’ dua tahun lalu.

Beliau berkata, tanpa memberi fakta atau jawapan kukuh untuk menangkis dakwaannya, parti diketuai Shafie Apdal itu sebaliknya memilih melakukan serangan peribadi serta menabur fitnah terhadap dirinya.

Menyentuh mengenai isu ‘Langkah Kinabalu’, Norazlinah yang ketika itu masih bersama Warisan mendakwa kenyataan Shafie bersifat ‘kabur’ apabila menegaskan beliau bukan pihak memulakan percaturan menjatuhkan pentadbiran Hajiji Noor.

“Hakikatnya semua rakyat Sabah tahu beliau terlibat secara langsung. Bukti jelas ialah kehadiran semua Adun Warisan yang berkumpul di Sutera Harbour Resort pada waktu itu (pada 5 Jan 2023).

“Mengapa beliau tidak berani menafikan penglibatan itu dengan fakta, sebaliknya hanya membuat kenyataan kabur?” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas penafian Shafie yang mendakwa ‘Langkah Kinabalu’ bukan gerakan politiknya, sebaliknya berpunca pertelingkahan antara Hajiji dan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin.

Alasan tidak masuk akal

Norazlinah turut memberi amaran kepada Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman, supaya menumpukan usaha menyelesaikan masalah sendiri termasuk mencari kerusi bertanding PRN akan datang, selepas gagal mempertahankan Parlimen Sepanggar tiga tahun lalu.

Tegasnya, Azis tidak perlu memutarbelitkan isu dibangkitkan dengan membuat kenyataan ‘beliau membantu melobinya’ menjadi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang.

“Kelantangannya jelas merosakkan parti dari dalam dan luar. Saya tidak perlu melobi dengan kenyataan; kerja keras saya di Kunak sudah menjadi bukti sama ada saya dipilih semula atau tidak,” katanya.

Norazlinah turut membidas Bendahari Warisan, Azhar Matussin, kerana memberi alasan tidak berasas berhubung status parti itu sebagai parti nasional selepas melebarkan sayap ke Semenanjung hampir empat tahun lalu.

“Tindakan mereka adalah bukti jelas tujuan sebenar. Alasan langkah itu untuk ‘didengar’ oleh Persekutuan tidak masuk akal. Adakah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak mempunyai kerusi di Semenanjung juga tidak didengari?

“Mengapa perlu menafikan sesuatu yang terang lagi bersuluh,” katanya yang keluar Warisan pada 6 Feb 2023 untuk menyokong pentadbiran GRS.

Warisan pun ada pengkhianat

Mengulas tindakan Warisan yang melabelnya sebagai pengkhianat, Norazlinah menegaskan tuduhan itu ibarat ‘meludah ke langit’ kerana parti itu sendiri dianggotai wakil rakyat dan ahli dari parti lain.

Pada 2022, dua Adun DAP — Justin Wong (Sri Tanjong) dan Calvin Chong (Elopura) — menyertai Warisan yang kini berada di blok pembangkang.

Di sebalik pembohongan itu, termasuk dakwaan beliau dan suami menerima sumbangan dari kartel dadah, Norazlinah tidak gentar serta berdiam diri dengan taktik kotor terbabit.

Tegasnya, semua kelemahan dan dakwaan Warisan perlu dijelaskan kepada rakyat supaya mereka dapat membuat pilihan tepat.

“Saya berharap rakyat Sabah bijak menilai dan tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan. Jangan ulangi kesilapan lalu,” katanya, merujuk kepada PRN Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.