Bekas pengetua madrasah mengaku salah amang seksual 6 pelajar

Bekas pengetua madrasah mengaku salah amang seksual 6 pelajar

Abdul Hadi Harun dijatuhi hukuman penjara dan sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar lelaki.

mahkamah muar
Seorang bekas pengetua madrasah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 24 sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen Muar. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pengetua madrasah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 24 sebatan rotan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar, tiga tahun lalu.

Hakim Sayani Nor di Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman ke atas Abdul Hadi Harun, 37, yang mengaku bersalah atas 16 pertuduhan, lapor Harian Metro.

Menurut pertuduhan, Hadi melakukan perbuatan itu terhadap enam lelaki, berusia antara 12 hingga 13 tahun ketika kejadian, di tandas madrasah dan di bilik air sebuah rumah di Batu Pahat, Johor, pada jam 3 pagi dan 7 pagi, serta 10.30 malam, sejak Mei hingga 29 Jun 2022.

Dia dituduh bawah Seksyen 14(a), (b) dan (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak kurang daripada dua sebatan rotan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan bawah Seksyen 14, dan tambahan dua tahun serta dua sebatan rotan bagi pertuduhan bawah Seksyen 16, dengan semua hukuman berjalan serentak.

Ini bermakna beliau hanya akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun, dan 24 sebatan rotan, mengikut had maksimum yang ditetapkan Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah diberitahu pihak pengurusan madrasah membuat laporan pada 30 Jun 2022.

Polis menahan Hadi pada 9.45 malam hari sama, dan mendapati beliau juga mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kepada sesiapa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Fauzi, manakala Hadi diwakili oleh Razak Shariff.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.