Anwar mahu ketua jabatan sedia laporan awal cabaran pelaksanaan AI

Anwar mahu ketua jabatan sedia laporan awal cabaran pelaksanaan AI

Perdana Menteri berkata fenomena 'productivity paradox', iaitu jangkaan tinggi terhadap keberkesanan AI tidak selari dengan hasil sebenar, dilihat dalam pelbagai laporan antarabangsa.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata prinsip pelaksanaan AI adalah untuk ketelusan dan beliau tidak mahu melihat ia menjadi alat melanjutkan budaya rasuah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersama semua ketua jabatan kerajaan meneliti secara mendalam cabaran pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk fenomena ‘AI Productivity Paradox’.

Menurutnya, meskipun pelaburan dalam teknologi digital dan AI telah menelan belanja besar sehingga mencecah puluhan bilion ringgit dalam tempoh lima tahun, peningkatan produktiviti dan hasil sebenar dibimbangi tidak berlaku dengan cepat atau sebesar yang dijangka.

“Saya minta dalam tempoh dua minggu atau sebulan, KSN dan semua ketua jabatan renung dan beri jawapan awal. Kita tidak mahu ulangi kesilapan yang dialami oleh syarikat-syarikat gergasi dunia,” katanya berucap pada perjumpaan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Anwar menjelaskan fenomena ‘productivity paradox’, di mana jangkaan tinggi terhadap keberkesanan AI tidak selari dengan hasil sebenar telah diperhatikan dalam pelbagai laporan seperti kajian McKinsey, pengalaman JP Morgan dan eksperimen di Denmark melibatkan 5,000 kakitangan.

“AI boleh menjimatkan masa dan urusan, tapi hanya 3%-7% kesannya benar-benar memberi pulangan atau hasil yang nyata. Malah ada jabatan, bila guna teknologi kononnya jadi ‘paperless’, akhirnya ‘paper more’,” selorohnya.

Beliau juga memberi amaran agar tidak berlaku ketaksuban terhadap AI tanpa penilaian yang kukuh, sambil menegaskan keperluan kepada tadbir urus data yang telus, pengawasan berterusan dan penilaian hasil berasaskan indikator jelas.

“Kita tidak mahu AI ini jadi alat untuk menutup kelemahan atau melanjutkan budaya rasuah dan komisen. Prinsipnya adalah ketelusan dan keberkesanan. Kalau belanja berbilion tapi hasil tak ke mana, apa gunanya?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.