5 remaja perempuan akan didakwa buli Zara Qairina

5 remaja perempuan akan didakwa buli Zara Qairina

Semua suspek akan didakwa bagi kesalahan buli, kata Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar.

Mohd Dusuki Mokhtar
Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar berkata prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan semua suspek berusia bawah 18 tahun.
PETALING JAYA:
Lima remaja perempuan akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, Rabu ini berhubung kes melibatkan pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir, yang meninggal dunia bulan lalu.

“Semua mereka akan didakwa bagi kesalahan membuli,” kata Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, lapor Astro Awani.

Katanya, prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan semua suspek berusia bawah 18 tahun.

Terdahulu dilaporkan Jabatan Peguam Negara berkata, beberapa suspek terlibat dalam kes buli Zara akan dituduh susulan penelitian kertas siasatan kes yang dirujuk polis.

Katanya, keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli itu dibuat memandangkan pertuduhan tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata kertas siasatan kematian Zara akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara selepas siasatan lanjut dijalankan pasukan khasnya.

Beliau berkata, pihaknya merakam keterangan 195 saksi, termasuk pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan dan ibu bapa bagi melengkapkan siasatan.

Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 9 Ogos, jenazahnya digali semula berikutan arahan AGC yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.

Bedah siasat selesai dilaksanakan di HQE I pada hari berikutnya dan jenazahnya dikebumikan semula pada hari sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.