2 anak doktor didakwa edar dadah 35kg

2 anak doktor didakwa edar dadah 35kg

Ahmad Ammar Rusydi dan Mohammed Hibatul-Alimi Mohd Hanafi didakwa melakukan kesalahan itu di Ketereh pada 5 Ogos lalu.

Mahkamah Majistret Kota Bharu
Tertuduh, Ahmad Ammar Rusydi Mohd Hanafi, 23 dan Mohammed Hibatul-Alimi, 34, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah disyaki jenis kanabis seberat 35.58kg. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Dua anak lelaki doktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah disyaki jenis kanabis seberat 35.58kg di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh pada 5 Ogos lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ahmad Ammar Rusydi Mohd Hanafi, 23 dan Mohammed Hibatul-Alimi, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid dan Wan Mohd Izzat Wan Abdullah, menurut Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan dibacakan secara berasingan, Ahmad Ammar Rusydi didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki jenis kanabis seberat 14.78 kg dan Mohammed Hibatul-Alimi didakwa mengedar dadah disyaki kanabis seberat 20.8kg.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh jam 4.30 petang pada 5 Ogos lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli dan Nur Haziqah Hassan mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober dan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam pada itu, Ahmad Ammar Rusydi turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis Glock AEKZ847 Mariner berserta 16 peluru hidup di lokasi serta tarikh yang sama.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki senjata api jenis Glock AEKZ847 Mariner 9X19 USA beserta 16 biji peluru hidup dengan menyalahi undang-undang.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan sehingga enam kali.

Pendakwaan dikendalikan Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam yang sama.

Mahkamah menetapkan 22 September bagi tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.