
Bukti tersebut merujuk kepada sepucuk surat bertarikh 4 Jan daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang kepada anak Najib, Nizar, yang didakwa mengesahkan kewujudan titah itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Loke Yee Ching, menetapkan tarikh berkenaan semasa pengurusan kes pagi tadi.
Loke turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan kerajaan bagi perintah larangan (gag order) supaya orang awam tidak membincangkan perkara berkaitan semakan kehakiman tersebut.
Najib diwakili peguam Shafee Abdullah manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan.
Peguam Azhar Azizan Harun yang juga bekas speaker Dewan Rakyat, hadir sebagai pemerhati bagi pihak Ahli Parlimen Ahmad Samsuri Mokhtar, Hamzah Zainudin dan Ronald Kiandee.
Prosiding itu berkaitan dengan titah adendum yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib mengemukakan bukti tambahan, serta mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan kehakimannya.
Najib sebelum ini disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Beliau memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.