
Gabungan terdiri Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata nama gabungan itu akan diumumkan kelak pada mesyuarat akan datang.
Katanya, ia bersifat ‘longgar’ iaitu bukan gabungan politik berdaftar secara rasmi.
“Ia ditubuhkan bagi mengumpulkan pimpinan pelbagai parti sama ada dalam atau luar Perikatan Nasional untuk membincangkan isu utama negara dan mencari penyelesaian demi kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat gabungan itu.
Antara pemimpin yang hadir Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan Pemangku Presiden Muda Amira Aisya.
Muhyiddin berkata, tiada agenda khusus ditetapkan namun platform itu akan digunakan bagi membincangkan pelbagai isu politik, ekonomi, sosial dan pendidikan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Katanya, antara isu utama akan diketengahkan adalah kos sara hidup yang didakwa semakin membebankan rakyat.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menurutnya tidak memberi keyakinan kerajaan mampu menyelesaikan isu utama negara.