Urimai sedia bantu blok pembangkang raih sokongan bukan Melayu

Urimai sedia bantu blok pembangkang raih sokongan bukan Melayu

Urimai sedia fokus pada kawasan bandar dan pinggir bandar sekiranya diberi peranan itu.

p ramasamy
Presiden Urimai P Ramasamy kata partinya berpotensi mendapatkan undi kaum India di kawasan bandar.
PETALING JAYA:
Parti Bersepakat Hak Rakyat (Urimai) sedia membantu blok pembangkang meraih sokongan komuniti bukan Melayu.

Presiden P Ramasamy berkata Urimai sedia fokus pada kawasan bandar dan pinggir bandar, sekiranya diberi peranan itu.

“Kawasan bandar juga Urimai boleh berpotensi mendapatkan undi kaum India,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berharap Urimai dan parti kecil lain memainkan peranan bagi menarik sokongan bukan Melayu kepada blok pembangkang, ketika Perikatan Nasional (PN) meraih undi Melayu.

Cadangan ini dilaporkan sebagai gabungan serampang dua mata bagi membantu PN menangani kekurangan sokongan bukan Melayu.

Menurutnya, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mempelawa Pejuang dan parti kecil lain membentuk suatu pakatan longgar yang akan fokus pada 50 hingga 60 kerusi bandar dan pinggir bandar.

Mukhriz membayangkan matlamatnya untuk memecahkan undi bukan Melayu supaya pengundi Melayu menjadi penentu.

Ramasamy berkata Urimai tiada masalah untuk bekerjasama dengan pembangkang lain.

“Tiada masalah untuk kerjasama dalam blok pembangkang walaupun tidak menyertai PN,” katanya.

“Urimai juga tiada masalah kerjasama dengan parti kecil lain seperti Parti Sosialis Malaysia dan Muda, asalkan mereka bukan parti dalam kerajaan dan menyokong kerajaan.”

Dalam pada itu, Ramasamy berkata Urimai sedia menyokong isu dibawa PN yang selari dengan pendiriannya.

“Apa kita boleh setuju dengan pembangkang kita setuju,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.