
Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang Malaysia, seperti melanggar syarat pas, menimbulkan ancaman keselamatan atau mengganggu ketenteraman awam.
Saifuddin berkata, antara tindakan boleh diambil termasuklah pembatalan pas, penyenaraian hitam serta penghantaran pulang ke negara asal, dan prinsip itu dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu terbabit.
“Status visa, sama ada sebagai pelajar, pelabur, pemegang pas lawatan jangka panjang atau peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), tidak sekali-kali memberikan imuniti daripada undang-undang negara ini.
“Keselamatan rakyat Malaysia dan kedaulatan negara ialah keutamaan yang tiada kompromi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, polis sentiasa melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan profesional, tanpa sebarang diskriminasi atau pengecualian terhadap mana-mana bangsa atau negara asal dalam kes melibatkan warga asing.
Justeru, katanya, setiap laporan melibatkan warga asing yang diterima akan disiasat mengikut lunas undang-undang dan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan keselamatan awam terjamin, termasuk bagi kes yang mendapat liputan berita.
“Peristiwa melibatkan warga asing yang tular sejak kebelakangan ini menimbulkan perhatian ramai, namun perlu ditegaskan setiap insiden akan ditangani sewajarnya melalui undang-undang sedia ada.”
Menurutnya, Malaysia menetapkan pengambilan tenaga kerja asing tidak mahir hanya boleh dibuat daripada 15 negara sumber rasmi, dan China bukan antara negara sumber bagi tenaga kerja asing tidak terlatih.
Beliau berkata, tenaga kerja China berada di Malaysia ketika ini berdasarkan sektor tidak terlatih, khusus bagi projek kerajaan berimpak tinggi, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Sehingga 15 Ogos lepas, terdapat 30,679 warga China yang didaftarkan sebagai ekspatriat profesional di Malaysia, dengan sektor pembinaan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 10,825 orang, diikuti sektor perkilangan (6,407), perkhidmatan (5,385), teknologi maklumat dan komunikasi (4,477) dan lain-lain sektor (3,585).
“Keberadaan warga China dalam tenaga kerja Malaysia lebih tertumpu kepada sektor profesional dan projek berskala besar yang memerlukan kepakaran teknikal tertentu, bukan dalam kategori pekerja asing tidak mahir.”
Seiring aspirasi kerajaan, beliau berkata, Malaysia sentiasa terbuka kepada pelaburan, pendidikan dan kerjasama antarabangsa, namun keterbukaan ini tidak sesekali mengorbankan keselamatan rakyat serta kedaulatan negara.
Saifuddin turut menyeru rakyat Malaysia kekal tenang dan yakin pihak berkuasa sedang serta akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka secara berkesan.
“Setiap ancaman akan ditangani sewajarnya demi memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang selamat, berdaulat dan sejahtera untuk semua.”