Mukhriz harap Muda, Urimai sertai blok pembangkang fokus bandar

Mukhriz harap Muda, Urimai sertai blok pembangkang fokus bandar

Presiden Pejuang berkata perbezaan lampau dengan P Ramasamy diketepikan kerana 'kita kena berkompromi'.

Mukhriz Mahathir
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata matlamatnya untuk memecahkan undi bukan Melayu supaya pengundi Melayu menjadi penentu di kerusi bandar dan pesisiran bandar.
PETALING JAYA:
Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir menjelaskan cadangan pendekatan gabungan serampang dua mata bagi membantu Perikatan Nasional (PN) menangani kekurangan sokongan bukan Melayu.

Beliau berkata, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mempelawa Pejuang dan “parti kecil” lain membentuk pakatan pembangkang “longgar” yang akan fokus bertanding 50 hingga 60 kerusi di kawasan bandar serta pesisiran bandar.

“Parti dalam gabungan ini tentunya banyak yang campuran. Saya harap contohnya macam Muda, Parti Kemajuan Malaysia yang dipimpin P Waytha Moorthy, Parti Sosialis Malaysia, Urimai pimpinan P Ramasamy dan banyak lagi parti kecil, tetapi mereka ada peranan (untuk dimainkan),” katanya menurut Utusan Malaysia.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata, idea gabungan itu bagi menarik sokongan bukan Melayu, manakala PN membantu meraih undi Melayu yang masih membentuk sebahagian besar pengundi di kerusi bandar dan pesisiran bandar.

Beliau membayangkan matlamatnya untuk memecahkan undi bukan Melayu supaya pengundi Melayu menjadi penentu.

“Contohnya di luar bandar, jika undi majoriti iaitu orang Melayu itu berpecah, undi minoriti adalah penentu, kenapa tidak menggunakan formula sama di kawasan bandar?”

Sebelum ini, Ramasamy dilaporkan berkata, komponen bukan Melayu PN “terlalu lembut dan konservatif” untuk menyuarakan kebimbangan lebih luas kaum Cina serta India, manakala gabungan itu terus bergelut di pantai barat dan selatan yang mempunyai majoriti bukan Melayu.

Cadangan gabungan serampang dua mata itu bagi menangkis sebarang stigma menyelubungi PAS dalam kalangan bukan Melayu, mengakui daya tarikan gabungan itu terhad dalam masyarakat terbabit.

Penganalisis politik memberi amaran mana-mana blok bukan Melayu yang bersekutu dengan PN mungkin gagal, selagi ia mengekalkan penguasaan Melayu-Islamnya.

‘Perbezaan dengan Ramasamy? Kita kena berkompromi’

Ditanya cara menarik sokongan orang Melayu sedangkan Waytha dan Ramasamy kurang disenangi, Mukhriz berkata: “Kita kena berkompromi.”

Beliau berkata, kompromi sedemikian yang membuka jalan kepada kejatuhan Barisan Nasional berkuasa selama 61 tahun, merujuk perdamaian jangka pendek antara bapanya, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

“Kita mungkin ada perbezaan, tapi perbezaan itu boleh kita anggap macam kecil berbanding mudarat lebih besar kita hadapi kalau benarkan kerajaan Madani kekal.

“Ketika saya menjadi menteri besar Kedah, Ramasamy merupakan timbalan ketua menteri Pulau Pinang. Saya bergaduh dengan dia banyak kali, daripada isu Sungai Batu, kuil dan sebagainya.

“Tetapi, sekarang kita duduk semeja bincang kerana kita nampak tiada pilihan, tetapi harus mencari satu titik pertemuan supaya boleh bergerak sederap kerana jika kita berpecah, ada orang lain akan menikmati manfaatnya. Jadi, kita kena berkompromi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.