
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata, pihaknya merakam keterangan 195 saksi, termasuk pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan dan ibu bapa bagi melengkapkan siasatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula ke AGC esok untuk nasihat dan arahan setelah tindakan siasatan lanjut dilaksanakan oleh pasukan khas JSJ Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, siasatan polis fokus pada dua elemen penting, iaitu aspek inkues dan perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu.
Beliau turut memberi jaminan bahawa proses siasatan dilaksanakan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
Isnin lepas, pasukan khas JSJ Bukit Aman dilaporkan telah dihantar ke Sabah untuk mengambil alih siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas, selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 9 Ogos, jenazahnya digali semula berikutan arahan AGC yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.
Bedah siasat selesai dilaksanakan di HQE I pada hari berikutnya dan jenazahnya dikebumikan semula pada hari sama.