Kereta jatuh gaung, lelaki hilang seminggu ditemui maut

Kereta jatuh gaung, lelaki hilang seminggu ditemui maut

Pika Rangga ditemui kira-kira 30m dari Perodua Bezza yang terjunam ke gaung di jalan menuju Empangan Hidroelektrik Baleh di Kapit.

Pasukan bomba menaikkan mayat mangsa menggunakan pengusung dan sistem tali. (Gambar BBP Kapit)
SIBU:
Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemui maut berhampiran sebuah kereta terjunam ke gaung di jalan menuju Empangan Hidroelektrik Baleh di Kapit, kira-kira 300km dari sini.

Ketua Polis Kapit, Rohana Nanu, berkata mangsa dikenali Pika Rangga, 54, ditemui kira-kira 30m dari kenderaan itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kapit untuk tindakan lanjut dan sudah dikenal pasti oleh ahli keluarga,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sibu, Andy Alie, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit digerakkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan pada 3.06 petang semalam.

“Pasukan operasi tiba pada 4.08 petang dan mendapati sebuah Perodua Bezza berada dalam gaung kira-kira 100m dari jalan utama. Mayat mangsa dibawa naik menggunakan pengusung dan sistem tali sebelum diserahkan kepada polis.”

Menurutnya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi dan operasi ditamatkan pada 4.35 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.