
Peguam Negara Dusuki Mokhtar memberitahu Buletin TV3 bahawa pihaknya akan memohon agar prosiding itu dilaksanakan segera.
“Rakaman pernyataan doktor pakar patologi telah diambil oleh pegawai penyiasat,” katanya.
“Laporan bedah siasat mangsa sedang dalam penyediaan dan akan siap dalam waktu terdekat sebelum pendengaran inkues bermula.”
Sementara itu, Buletin TV3 melaporkan peguam keluarga Zara Qairina sebagai berkata sebutan untuk inkues ditetapkan esok di mahkamah Kota Kinabalu.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina, 13, selepas meneliti laporan siasatan polis pada 12 Ogos.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar itu ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolah berkenaan pada 16 Julai, dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu keesokannya.