
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata bendera Malaysia adalah lambang yang perlu diberikan keutamaan serta mampu menanam nilai kesedaran cinta pada tanah air dalam kalangan rakyat.
Justeru, beliau menasihatkan premis perniagaan dan orang ramai lebih berhati-hati ketika menaikkan bendera mengikut garis panduan ditetapkan.
“Apa yang berlaku beberapa minggu ini satu peringatan untuk kita berhati-hati ketika menaikkan bendera Malaysia mengikut apa yang telah disarankan demi menjaga kehormatan negara dan lambang kepada kegemilangan negara,” katanya selepas Program Madani Brisk Walk 2.0 @ Taman Saujana Hijau anjuran PKR Putrajaya di sini.
Beliau berkata, program riadah itu sejajar visi Wilayah Persekutuan sebagai Bandar CHASE, iaitu Clean (bersih), Healthy (sihat), Advanced (maju), Safe (selamat) dan Eco Friendly (mesra alam).
Dalam kesempatan itu, beliau turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengunjung dan penduduk sekitar Putrajaya sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut 31 Ogos serta 16 Sept ini.
Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini adalah “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”.