Frasa ‘hidup mati’ tunjuk kedudukan genting Umno, kata penganalisis

Frasa ‘hidup mati’ tunjuk kedudukan genting Umno, kata penganalisis

Bilcher Bala berkata Umno dilihat dalam posisi paling lemah sejak bertapak di Sabah susulan keputusan pasca PRU14 dan tindakan keluar kerajaan.

umno
Umno yang pernah mentadbir Sabah perlu bangkit pada PRN, dan jika gagal mengakibatkan tapak politiknya sukar dipulihkan menjelang PRU16, menurut penganalisis.
PETALING JAYA:
Kenyataan ‘hidup mati’ Umno Sabah bergantung pada keputusan PRN17 menggambarkan betapa gentingnya kedudukan parti itu ketika ini, menurut seorang penganalisis.

Bilcher Bala berkata kehilangan pengaruh pasca PRU14, dan tindakan Umno Sabah keluar kerajaan negeri, dua tahun lalu, mengakibatkan parti itu kehilangan lebih 2,000 jawatan peringkat akar umbi, sehingga menyebabkan Umno dilihat dalam posisi paling lemah sejak bertapak di Negeri di Bawah Bayu.

“PRN bukan sekadar pertandingan politik biasa tetapi medan ujian kepercayaan rakyat terhadap kemampuan Umno untuk bangkit semula.

“Negeri itu pernah menjadi benteng kuat Umno dan kegagalan kali ini boleh mengakibatkan kehilangan tapak politik yang sukar dipulihkan menjelang PRU16,” kata penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah ini kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir yang menyifatkan PRN tidak lama lagi sebagai perjuangan hidup mati parti terbabit di negeri itu, dan bayangan penguasaannya di 25 kerusi Parlimen pada PRU16.

Namun, Bilcher berpandangan retorik ‘hidup mati’ itu juga boleh ditafsirkan sebagai strategi memobilisasi emosi bagi menyatukan jentera serta menggerakkan pengundi.

“Realitinya lebih rumit. Keputusan PRN akan bergantung pada faktor calon, isu-isu tempatan dan dinamik gabungan parti politik,” katanya.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara pula berpandangan Umno tidak semudah itu untuk terkubur.

“Umno sudah lama bertapak di Sabah dan masih ada penyokong setia… PRN kali ini sekadar ujian sama ada parti itu kembali dominan atau sebaliknya.

“BN memang ada alasan untuk yakin, tetapi ia tidak pasti kerana politik Sabah sangat ‘fluid’ (boleh berubah),” katanya.

Beliau menambah, sekalipun gagal, Umno masih boleh menjadi pembangkang yang konstruktif, dan berpotensi bangkit semula memandangkan pengalaman sebagai parti pemerintah berpuluh tahun lama.

“Sebagai sebuah parti nasional yang pernah menjadi tunjang kerajaan hampir 61 tahun, Umno cukup berpengalaman untuk bangkit semula jika gagal dlm PRN Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.