Fokus perkara lebih mendesak, pemimpin DAP seru di sebalik isu Jalur Gemilang

Fokus perkara lebih mendesak, pemimpin DAP seru di sebalik isu Jalur Gemilang

V Papparaidu berkata parti-parti kerajaan patut tumpu pada ekonomi dan hal ehwal negara.

Ahli jawatankuasa pusat DAP, V Papparaidu, kata pergeseran dalaman bukan petanda baik ketika PRN Sabah dan PRU semakin dekat.
PETALING JAYA:
Seorang ahli jawatankuasa pusat DAP menyeru semua pihak agar menumpukan perhatian pada perkara yang lebih mendesak, agar tidak teralih dengan isu Jalur Gemilang.

V Papparaidu mengingatkan semua parti kerajaan termasuk Umno bukan lagi pembangkang maka patut tumpu pada ekonomi dan hal ehwal negara.

Katanya, pergeseran dalaman bukan petanda baik sedangkan PRN Sabah dan PRU semakin mendekat.

“Kita mesti memastikan kita kekal di landasan yang betul demi rakyat dengan mengetepikan perbezaan pendapat dan bekerjasama,” menurut kenyataan.

“Tiada sesiapa yang patut cuba mencari publisiti murahan dengan menonjolkan isu bendera kerana ia hanya mengalihkan tumpuan daripada keutamaan sebenar yang penting bagi rakyat.”

Beliau menggesa pihak berkuasa bertindak pantas dan cekap supaya keadilan dapat ditegakkan dalam isu Jalur Gemilang, dan semua pihak fokus pada perkara yang lebih besar.

Dalam pada itu, Papparaidu mengingatkan ahli politik agar mematuhi kepimpinan parti masing-masing, dan menambah DAP sentiasa mengamalkan perkara ini.

“Malangnya, saya tidak melihat perkara yang sama daripada Akmal,” katanya, merujuk pada Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Akmal sedang disiasat atas tuduhan hasutan dan ugutan jenayah berhubung suatu video, berkaitan seorang pemilik kedai di Pulau Pinang yang dikatakan tidak sengaja menggantung bendera Jalur Gemilang secara terbalik.

Sejak itu, beberapa Pemuda DAP negeri menyeru agar parti mereka memutuskan semua hubungan dengan Akmal.

Akmal dilapor menegaskan kerjasama DAP dengan Umno dalam kerajaan akan terlerai jika Pemuda DAP mahu memutuskan hubungan dengannya.

Umno dan gabungan yang diterajuinya, Barisan Nasional, merupakan rakan kongsi utama dalam kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.