Apa rancangan Shafie untuk pembangunan Sabah, soal bekas Adun Warisan

Apa rancangan Shafie untuk pembangunan Sabah, soal bekas Adun Warisan

Norazlinah Arif berkata Ketua Menteri Hajiji Noor mempunyai ‘pendekatan berteraskan rakyat yang sangat kukuh’.

hajiji shafie
Adun Kunak Norazlinah Arif berkata perbandingan antara Hajiji Noor dengan Shafie Apdal sepatutnya dibuat berdasarkan pencapaian bukan tuduhan tidak berasas.
KOTA KINABALU:
Seorang bekas Adun Warisan mempersoalkan sama ada bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal mempunyai rancangan sebenar untuk membangunkan negeri itu.

Menolak kritikan presiden Warisan terhadap penggantinya Hajiji Noor, Adun Kunak Norazlinah Arif berkata dakwaan Shafie mengenai kewujudan rasuah dalam kerajaan sedia ada disifatkan tidak berasas.

Beliau menegaskan, perbandingan antara pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan sepatutnya dibuat berdasarkan pencapaian mentadbir negeri itu.

Katanya, Hajiji memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti ‘Hala Tuju Sabah Maju Jaya’, selain membangunkan ekonomi biru yang memanfaatkan perairan negeri serta menguruskan sektor minyak dan gas (O&G) dengan baik.

Norazlinah Arif
Norazlinah Arif.

“Pendekatan berteraskan rakyat amat kuat, ciri ini tidak dimiliki Shafie,” katanya dalam temu bual FMT.

Norazlinah keluar Warisan pada 6 Feb 2023 selepas kegagalan ‘Langkah Kinabalu’ didakwa digerakkan bekas partinya serta Umno untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji.

Dalam usaha merampas pentadbiran Sabah pada PRN tahun ini, Shafie melancarkan tuduhan rasuah terhadap Hajiji dengan mengaitkan skandal perlombongan mineral di negeri itu.

Hajiji yang juga pengerusi GRS secara konsisten menafikan semua tuduhan terhadapnya, menegaskan beliau dan kerajaannya ‘tidak ada apa-apa untuk disembunyikan’, dan menyifatkan ia sebagai percubaan bermotif politik untuk melemahkan pentadbirannya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membersihkan ketua menteri daripada sebarang salah laku, selepas mengambil keterangannya sebanyak dua kali secara berasingan.

Mohammad Mohamarin
Mohammad Mohamarin.

Sementara itu, Adun Banggi, Mohammad Mohamarin, berkata kerajaan GRS walaupun dilihat ‘senyap’ tetapi berjaya menyelesaikan isu rakyat bukan seperti pihak tertentu yang cuba menggembar-gemburkan sesuatu tetapi tiada pelaksanaan.

Mengambil contoh masalah air di kawasannya, Mohammad berkata tindakan penyelesaian jangka panjang hanya dibuat kini walaupun permohonan sudah lama dibuat.

“Hajiji telah memberikan peruntukan besar untuk naik taraf loji air, ini bukti paling jelas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.