
Tengku Fauzi sekali lagi menegaskan angkatan tentera (ATM) tidak akan sesekali berkompromi dengan pegawai atau anggota yang didapati melakukan kesalahan yang mencemarkan imej pasukan dan negara.
“Kita akan memberi bantuan dan kerjasama sebaik-baiknya kepada agensi penguat kuasa untuk melakukan siasatan. Kita tidak kira siapa pun yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan, tidak ada keistimewaan dalam tentera.
“Setinggi mana pun, kalau melakukan kesalahan kita tetap akan ambil tindakan,” katanya, lapor Bernama, mengulas dakwaan pembabitan pegawai kanan ATM dalam sindiket penyeludupan.
Pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan dua wartawan sebuah portal berita, dipercayai terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Mengulas perkembangan lain, Tengku Fauzi berkata inisiatif mengambil bekas tentera sebagai warden di institusi pendidikan memberi peluang kerjaya kedua kepada anggota atau veteran tentera.
“Kita amat menyambut baik apabila terdapat agensi yang ingin mengambil veteran sebagai tenaga pekerja. Kerana kita sedia maklum mereka ini telah berkhidmat lebih 20 tahun, jadi kalau mereka berpencen pada usia biasanya 40 atau 41 tahun mereka masih lagi mempunyai pasaran (kerja) di luar.
“Segala pengalaman yang mereka dapat ketika dalam perkhidmatan ini dari segi aspek disiplin, fizikal dan spiritual, mereka boleh kongsi dengan masyarakat serta menjadikan ia sesuatu yang berguna,” katanya.
Beliau berkata ATM sentiasa menyiapkan warga tentera untuk kembali dalam konteks pembangunan negara dan bangsa selepas berpencen.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan melantik bekas tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi memastikan isu buli dan kes disiplin lain dapat dikekang, selain menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat buat semua pelajar.
Di Facebook baru-baru ini, Asyraf berkata kumpulan pertama warden lantikan sepenuh masa dalam kalangan bekas polis dan tentera itu akan memulakan tugas di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang pada Isnin.