Selesai kes tunggak, Johor perlu lebih banyak Mahkamah Perusahaan, kata Majlis Peguam

Selesai kes tunggak, Johor perlu lebih banyak Mahkamah Perusahaan, kata Majlis Peguam

Ada kes ditetap sehingga hujung 2027.

Mahkamah perusahaan Industrial Court
Mahkamah Perusahaan Malaysia berkata kelewatan penetapan tarikh kes disebabkan keutamaan diberi kepada kes lama. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Lebih banyak Mahkamah Perusahaan perlu diwujudkan di Johor susulan kelewatan ketara dalam penetapan tarikh bicara dan penyampaian anugerah keputusan, kata Majlis Peguam.

Jawatankuasa Undang-undang Perusahaan dan Pekerjaan (IELC) Majlis Peguam, berkata satu-satunya Mahkamah Perusahaan di negeri itu sampai menetapkan tarikh perbicaraan sehingga hujung 2027.

“Wujud kelewatan yang ketara dalam penetapan tarikh perbicaraan dan penyampaian anugerah keputusan di Mahkamah Perusahaan Johor,” kata wakil IELC ketika mesyuarat jawatankuasa perundingan bersama pihak berkepentingan, baru-baru ini.

IELC menyatakan, mengambil kira tunggakan kes yang besar, Johor wajar menubuhkan semula sebuah lagi Mahkamah Perusahaan, menjadikannya dua.

Menurut pekeliling Majlis Peguam dilihat FMT, mesyuarat tersebut melibatkan Presiden Mahkamah Perusahaan Malaysia (ICM) Jeffry Kassim bersama wakil Majlis Peguam, pengerusi mahkamah, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta pihak berkepentingan lain.

Dalam maklum balasnya, ICM menjelaskan kelewatan tersebut berpunca daripada keutamaan diberikan kepada kes lama, sambil menyatakan pihaknya mengalu-alukan cadangan menambah bilangan Mahkamah Perusahaan di Johor.

“ICM sedang mengambil langkah menyediakan kertas cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia bagi menambah bilangan mahkamah bukan sahaja di Johor, tetapi juga di lokasi lain bersesuaian,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, ICM menolak permintaan MTUC dan beberapa yang lain untuk memadamkan nama pihak terlibat dalam pertikaian daripada laman webnya, susulan dakwaan maklumat itu menyebabkan pekerja memfailkan tuntutan pemecatan tidak adil sukar mendapat kerja baharu.

“ICM tidak boleh sewenang-wenangnya memadamkan nama daripada laman webnya kerana maklumat tersebut adalah sebahagian domain awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.