Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2026 diadakan di Sabah

Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2026 diadakan di Sabah

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata sambutan minggu perpaduan adalah program di bawah kerangka kembara perpaduan Malaysia Madani.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagan main gasing email pic 16825
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang menunjukkan kemahiran bermain gasing di Sambutan Minggu Perpaduan dan Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga 2025 di Labuan hari ini.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara mengumumkan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan pada tahun depan akan diadakan di Sabah.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang yang mengumumkan perkara itu berkata sambutan minggu perpaduan adalah program di bawah kerangka kembara perpaduan Malaysia Madani.

Katanya, ia bertujuan untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebarluas pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.

“Sambutan ini menjadi saluran memperkukuhkan akar perpaduan di samping mewujudkan tapak integrasi yang akhirnya mewujudkan satu ekosistem perpaduan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Minggu Perpaduan dan Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga 2025 peringkat Labuan.

Mengulas mengenai sambutan itu di Labuan, Aaron berkata Labuan merupakan sebuah wilayah yang menempatkan kepelbagaian budaya, agama dan kaum dengan penuh harmoni dan keamanan.

Katanya, menurut Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021, Labuan mencatatkan skor tertinggi negara iaitu 9.29, menandakan tahap kebahagiaan yang sangat tinggi dalam kalangan penduduknya.

“Sebagai usaha memperkukuh hubungan sosial dan perpaduan di peringkat komuniti, kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menubuhkan 37 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Labuan.

“Tahun ini, KRT genap 50 tahun penubuhannya. Sepanjang tempoh tersebut, KRT telah memberikan sumbangan besar kepada masyarakat seperti rondaan keselamatan dan pembinaan komuniti,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang sambutan ini seperti pameran Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga, persembahan malam budaya, pameran pendidikan awal kanak-kanak, Unity Fun Run
Walk, pameran dan jualan ekonomi rukun tetangga serta pameran reruai jabatan dan agensi kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.