
TH memaklumkan peruntukan perbelanjaan bagi proses peremajaan jenama (brand rejuvenation) adalah RM2 juta setahun bagi tempoh 3 tahun.
“Proses ini melibatkan tinjauan pasaran meluas dan proses libat urus bersama pihak pendeposit bagi memahami dengan lebih baik keperluan mereka dan TH mendapati perubahan demografi masyarakat Islam mempunyai kesan yang amat ketara,” menurut kenyataan.
TH menolak dakwaan ia tidak perlu berusaha bagi memperkukuhkan jenamanya sebagai tidak tepat, kerana 9.6 juta pendepositnya hanya 50% daripada penduduk Islam.
Selain itu, lebih 53% pendeposit mempunyai simpanan kurang dari RM1,300 yang jauh daripada mencukupi bagi persediaan menunaikan haji.
“Bayaran haji bagi seorang jemaah kumpulan B40 tahun 2025 adalah RM15,000,” katanya.
Katanya, TH sedang merancang kempen bagi menarik umat Islam untuk menabung awal, konsisten dan sistematik untuk meningkatkan simpanan ke paras yang membolehkan mereka menunaikan ibadat haji, serta memastikan pelaburan yang stabil demi kelestarian institusi.
“Lembaga pengarah TH telah memutuskan untuk mengkaji semula strategi untuk kekal berdaya saing memberi perkhidmatan terbaik dan menarik minat lebih ramai umat Islam yang lebih muda sebagai pendeposit,” katanya.
TH menambah lebih 80% daripada transaksi kewangan dilakukan secara digital dan dalam talian, pada masa ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary meminta penjelasan kerajaan berhubung perbelanjaan bagi projek penjenamaan semula, ketika perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 di Dewan Rakyat.