
Majlis eksekutif sayap itu mendakwa ketua Pemuda Umno itu berulang kali mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat kestabilan politik, dan menggesa Mohamad akui perkara itu.
“Selama ini, pihak yang tidak rasional dan tidak berfikiran waras hanyalah Akmal seorang. Jika Mohamad benar-benar mahu memberi nasihat, beliau harus bermula dengan ketua Pemuda terlebih dahulu.
“Tegurlah dia agar bertenang dan berhenti merosakkan pentadbiran kerajaan Madani,” menurut kenyataan.
Pemuda DAP berkata kerjasama antara kedua-dua parti dalam kerajaan berjalan lancar dan licin, namun mendakwa Akmal sahaja yang mencetuskan kekacauan dan memalukan parti sendiri.
Terdahulu, Mohamad menggesa DAP menasihatkan sayap pemudanya supaya lebih rasional dan tidak bertindak melulu apabila mendesak untuk memutuskan hubungan dengan Akmal.
Sebelum itu, Pemuda DAP Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menggesa DAP memutuskan semua hubungan dengan Akmal berhubung isu Jalur Gemilang.
Semalam, Akmal dilapor menegaskan kerjasama DAP dengan Umno dalam kerajaan akan terlerai jika Pemuda DAP mahu memutuskan hubungan dengannya.
Pemuda DAP dan Akmal bercakaran sejak minggu lalu berhubung isu sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang mengibar Jalur Gemilang terbalik.
Pemilik kedai mengakui kesilapan itu tidak disengajakan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku pada Sabtu lalu.
Kelmarin, Akmal mengetuai perarakan ke kedai perkakasan berkenaan.