Agong titah batal cadangan beli Black Hawk lebih 30 tahun

Agong titah batal cadangan beli Black Hawk lebih 30 tahun

Sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda mengingatkan Kementerian Pertahanan tidak mengulangi kesilapan dahulu.

sultan ibrahim
Sultan Ibrahim percaya ini berlaku kerana Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘ejen’ atau bekas jeneral yang menjadi ‘salesman’. (Gambar Istana Negara)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun.

Sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda mengingatkan Kementerian Pertahanan tidak mengulangi kesilapan dahulu.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara ‘second hand’. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.

“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘ejen’ atau bekas jeneral yang menjadi ‘salesman’, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘drone’,” titah baginda dalam catatan Facebook.

Sultan Ibrahim bertitah peruntukan sedia ada tidak akan mencukupi jika semua perolehan perlu mengikut harga orang tengah.

“Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi.”

November lalu, Kementerian Pertahanan membatalkan kontrak sewaan Black Hawk bernilai RM187 juta dengan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd kerana gagal membuat penghantaran pada tarikh akhir, iaitu sebulan sebelumnya.

Empat helikopter yang disewa selama lima tahun itu sepatutnya berfungsi sebagai platform kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat bagi menyokong latihan dan misi penerbangan operasi.

Pada Julai 2024, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dilaporkan berkata, syarikat itu menyatakan perang berterusan di Ukraine antara sebab kelewatan mendapatkan helikopter berkenaan.

Tentera sebelum ini berkata, ia akan mencadangkan pembatalan kontrak pajakan helikopter, jika vendor gagal memenuhi kewajipan penghantarannya.

Mac lalu, Kementerian Pertahanan berkata, ia sedang menilai semula kaedah terbaik perolehan Black Hawk, termasuk kemungkinan perjanjian kerajaan dengan kerajaan atau meneruskan sewaan helikopter.

Aset tak relevan, terlalu mahal 

Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan memastikan setiap perolehan aset tentera dibuat secara teliti, iaitu berlandaskan harga pasaran dan keperluan sebenar, bukannya mengikut cadangan ejen semata-mata.

Baginda bertitah, pembelian aset tidak relevan atau terlalu mahal bukan saja merugikan, malah membazirkan peruntukan negara.

“Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu.”

Sultan Ibrahim mengimbau teguran baginda lima tahun lalu berhubung pembelian bot rigid raiding craft (RRC) untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan bot lebih baik boleh diperoleh bawah RM2 juta.

“Baru-baru ini pula, saya dapat tahu ada cadangan untuk beli lagi bot sama, tetapi saiz yang besar sedikit dengan harga hampir RM10 juta. Ini tidak masuk akal dan harus diteliti secara betul.

“Selain harga, kualiti barang yang dibeli juga perlu diutamakan. Apa telah jadi dengan kolam selam tempur di kem ini yang sepatutnya siap pada 2022, tetapi sehingga kini belum boleh digunakan?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.