
Bekas ketua Wanita, Norazlinah Arif, mendakwa wujud suara tidak puas hati terhadap pentadbiran diketuai Shafie Apdal dari Mei 2018 hingga September 2020 antaranya berkait isu pelantikan ketua jabatan di negeri itu.
Menurut Adun Kunak itu, slogan ‘unity’ atau perpaduan dibawa Warisan didakwa tidak lagi diutamakan sebaliknya nepotisme berleluasa dengan pelantikan jawatan tinggi dalam kalangan komuniti tertentu sahaja.
“Bukan sahaja kaum Cina tetapi yang lain pun saya yakin tidak lagi merasakan perjuangan Warisan ini untuk bangsa Sabah,” katanya dalam temu bual FMT.
Beliau turut menyatakan, tindakan Warisan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding solo selain ucapan mengguris hati pada kempen PRU15 juga menambah kesukaran mengambil hati pengundi Cina.
Pada kempen pilihan raya 2022 itu, Shafie terpaksa memohon maaf kerana menggunakan ungkapan ‘satu ekor Cina pun tiada jadi menteri’ untuk membidas Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menjelang PRN bakal diadakan tahun ini, Shafie melancarkan slogan ‘Selamatkan Sabah’ dan memainkan sentimen parti tempatan untuk meraih sokongan pengundi negeri itu.
Norazalinah membidas slogan retorik itu yang dijangka mengulangi kegagalan kempen perpaduan pada PRN lima tahun lalu, menyaksikan Warisan hilang pentadbiran Sabah.
“Bagaimana kita boleh percaya sebuah parti kononnya mengasaskan perjuangan ‘unity’ namun akhirnya apabila berada di tampuk pemerintahan hanya fokus kepada komuniti tertentu sahaja,” katanya yang meninggalkan Warisan pada 6 Feb 2023.
Mohammad Mohamarin, seorang lagi Adun yang meninggalkan Warisan bersama Norazalinah turut membidas kempen ‘Selamatkan Sabah’ yang disifatkan retorik sedangkan Shafie sendiri gagal menyelesaikan isu asas iaitu air, elektrik dan jalan.
Wakil rakyat Banggi mendakwa, naratif dimainkan pembangkang itu seolah-olah Sabah dalam kritikal walaupun realitinya pentadbiran Hajiji Noor berusaha keras menyelesaikan masalah berlarutan sejak sekian lama.
“Kami dulu dalam kerajaan Warisan lebih dua tahun menantikan inisiatif untuk selesaikan masalah ini tetapi tiada, bahkan terpaksa jumpa ketua menteri (Shafie) tetapi tidak dibantu.
“Kerajaan hari ini (GRS) telah melaksanakan banyak inisiatif menyelesaikan isu tiga serangkai terbabit, jadi istilah selamatkan Sabah tidak lagi tepat,” kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Warisan.
Menyentuh soal sokongan rakyat, Mohammad seperti Norazalina berkata Warisan tidak lagi popular seperti dahulu.
“Tidak keterlaluan saya katakan keyakinan dalam kalangan penyokong dan rakyat terhadap Warisan telah hilang,” katanya.