
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata, pemilik syarikat terbabit akan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam masa terdekat.
“Kami mempunyai alasan untuk percaya bahawa syarikat media itu digunakan sebagai penyamaran, bertindak sebagai pemudah cara dan platform untuk aktiviti pengubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti peranan syarikat terbabit dalam aktiviti penyeludupan.
Selain itu, Azam berkata dua wartawan syarikat berkenaan yang ditahan bersama lapan individu termasuk pegawai kanan tentera Rabu lalu, dipercayai pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera (ATM).
“Mereka ialah bekas (anggota ATM) dan siasatan awal mendapati dua individu itu dipercayai terlibat dalam menyampaikan maklumat kepada penyeludup,” katanya.
Media pada Rabu melaporkan SPRM menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan dua wartawan sebuah portal berita, dipercayai terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Turut direman, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan seorang wanita warga asing.
Semua suspek berumur 30 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama polis.