
Ketua Polis Seberang Perai Selatan Jay January Siowou berkata serbuan pada Selasa lalu itu dibuat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang hasil maklumat dan risikan, lapor Bernama.
Katanya, dalam serbuan pertama di Taman Tambun Permai, polis menahan dua lelaki warga tempatan dan merampas dadah jenis heroin seberat 1,113g, heroin base (641g), kafein (4kg), beberapa bahan kimia dan peralatan memproses dadah.
“Serbuan kedua di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi pertama, kami menahan seorang lelaki warga Sri Lanka bersama kafein sebanyak 26kg,” katanya.
Menurutnya, semua lelaki yang ditangkap berusia 25 hingga 46 tahun dan semua dadah dirampas itu bernilai RM74,500 serta boleh digunakan untuk 49,500 penagih.
Jay berkata, siasatan awal mendapati rumah pertama dijadikan makmal memproses dadah dan seorang suspek warga tempatan disyaki dalang utama serta mempunyai kepakaran memproses heroin.
Katanya, dua lagi suspek berperanan sebagai pembantu dan penghantar dadah serta bahan kimia.
Tambahnya, sindiket berkenaan aktif memproses heroin sejak sejak Januari lalu dan dadah itu diedarkan untuk pasaran tempatan.
“Dua lelaki warga tempatan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala lelaki Sri Lanka tiada rekod lampau,” katanya.
Katanya, polis turut menyita dua kereta jenis Toyota Vellfire dan Honda Civic serta dua buah motosikal Yamaha LC135.
“Tiga lelaki itu kini direman selama tujuh hari hingga 19 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.