
Merujuk kontroversi pemasangan Jalur Gemilang dan kes kematian pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir, Anwar berkata masa untuk memberi amaran atau teguran telah berakhir.
Tegasnya, tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan negara terjerumus dalam keadaan tidak diingini.
“Daripada hal sebesar insiden kematian anak kita, Zara di Sabah, hinggalah isu Jalur Gemilang yang harus kita muliakan — semua ini menjadi agenda menghangatkan suhu.
“Sebab itu saya gesa dan beri arahan jelas kepada badan penguatkuasaan, jika ada tokoh besar atau kecil, tokoh politik atau masyarakat terbabit dalam jenayah ugutan serta hasutan… masa amaran telah berakhir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang mengetuai program Solidariti Jalur Gemilang di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam diarahkan polis memberi keterangan di IPD Dang Wangi, malam ini.
Akmal mengetuai perarakan ke kedai perkakasan mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengibarkan Jalur Gemilang terbalik.
Tindakan exco Melaka itu di sebalik gesaan polis supaya perarakan dihentikan.
Dalam pada itu, Anwar berkata pihak berkuasa yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab memastikan keamanan negara wajar digantikan dengan orang berprinsip dan berani bertindak.
“Tindakan tegas mesti dan wajib diambil. Kalau ada rakan-rakan yang mempunyai amanah, tidak bersedia, mereka beritahu saya. Kita tukar mereka dan ambil orang yang berprinsip tegas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi liar berkait kes kematian Zara Qairina, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa melakukan siasatan.
“Ini belum apa-apa, dah sudah tudingan (tuding menuding. Anak VVIP ini, orang ini. Kita ini siapa? (Kalau begitu) Tutup saja pejabat-pejabat polis semua. Kalau dah semua keputusan kita boleh buat tanpa siasat.
“Jadi, harus ada siasatan segera, telus, adil dan terbuka. Jangan pakai hukum semberono,” katanya.