
Anwar berkata, kerajaan masih mendapat ‘dukungan padu’ daripada semua parti komponen yang membentuk kerajaan hari ini.
“Kerjasama erat dan semangat saling menghormati dalam kalangan parti-parti ini menjadi asas kepada kesinambungan pentadbiran negara dan pelaksanaan agenda reformasi,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Anwar berkata, peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi merupakan ‘keputusan peribadi yang berlandaskan prinsip masing-masing’, dan kerajaan menghormatinya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa Rafizi dan Nik Nazmi, masing-masing Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, akan terus menabur bakti kepada rakyat dan menyumbang secara aktif sebagai wakil rakyat demi kemajuan negara.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai kestabilan Jemaah Menteri susulan peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi.
Mendakwa pengunduran dua pemimpin PKR itu mewujudkan persepsi bahawa kerajaan ‘kini goyah dan kurang keyakinan (rakyat)’, Shahidan turut mempersoalkan sama ada istilah ‘kerajaan perpaduan’ masih relevan.
Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan sebagai menteri selepas masing-masing tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden dan naib presiden PKR ketika pemilihan parti pada Mei.
Rafizi merupakan bekas menteri ekonomi manakala Nik Nazmi sebelum ini memegang portfolio sumber asli dan kelestarian alam.