
Naib Presiden Radzi Jidin berkata mana-mana cadangan yang dikemukakan daripada pemimpin PN hanya pandangan peribadi.
“Selagi mana majlis tertinggi PN belum umumkan apa-apa, tidak ada dari sudut perdana menteri. Itu pandangan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas dialog ‘Anda Tanya, Kami Jawab’ anjuran Pemuda Bersatu.
Terdahulu, Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam program audio siar Harakah Daily menamakan lima pemimpin sebagai pilihan untuk jawatan perdana menteri, iaitu empat dari PAS dan seorang dari Bersatu.
Daripada PAS, mereka adalah Presiden Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, dan dua naib presiden iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar serta Idris Ahmad.
Dalam kalangan Bersatu, Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menjadi pilihan Afnan, malah dilihat berpotensi memandangkan beliau ketua pembangkang.
Radzi berkata calon perdana menteri akan diumumkan oleh Majlis Tertinggi PN apabila tiba masanya.
Sementara itu, dalam sesi dialog, Exco Pemuda Bersatu Na’im Brundage menafikan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan PN gabungan parti rasis.
Beliau mengingatkan PN turut disertai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.
“PN bukan hanya parti Bumiputera sahaja dan ada parti lain.
“Jika lihat ‘track record’ Bersatu dan PAS juga tidak ekstrem seperti digambarkan kerana dalam masa terdekat akan menerima juga parti bukan Melayu lain,” katanya.
Na’im bagaimanapun tidak mendedahkan parti bukan Melayu yang dimaksudkan itu.