Akmal beri keterangan di IPD Dang Wangi malam ini

Akmal beri keterangan di IPD Dang Wangi malam ini

Pemuda Umno menggalakkan semua pihak hadir beri sokongan moral kepada Dr Akmal Saleh di IPD Dang Wangi 11 malam ini.

Muhamad Akmal Saleh
Semalam, Dr Akmal Saleh mengetuai perarakan ke kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengibarkan Jalur Gemilang terbalik.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh akan memberi keterangan di IPD Dang Wangi malam ini berhubung program Solidariti Jalur Gemilang diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

Akmal memaklumkan beliau dihubungi pegawai penyiasat dari Bukit Aman petang tadi untuk hadir ke IPD Dang Wangi pada 11 malam.

“Saya akan berikan kerjasama sebaik mungkin kepada polis. Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk menjaga kehormatan negara, tidak mengapa. Saya rela dan akan lawan habis-habisan,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda Umno, Hafiz Ariffin, dalam makluman kepada ahli parti berkata semua pimpinan dan ahli digalakkan hadir memberi sokongan moral kepada Akmal malam ini.

“Sebagai tanda sokongan kepada perjuangan institusi, saya memanjangkan jemputan buat pimpinan untuk bersama hadir mengiringi ketua Pemuda Umno. Sokongan ini amat memberi makna dalam segala ikhtiar yang kita lakukan,” katanya.

Menurut jemputan diedarkan, himpunan solidariti itu akan bermula 10.30 malam dengan peserta diminta berkumpul di pekarangan IPD Dang Wangi berpakaian hitam, sebelum ketibaan Akmal pada 10.45 malam.

Semalam, Akmal mengetuai perarakan ke kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengibarkan Jalur Gemilang terbalik.

Tindakan exco Melaka itu di sebalik gesaan polis supaya perarakan dihentikan.

Pemilik kedai perkakasan, Pang Chin Tian, 59, berkata dia bersedia menerima sebarang tindakan perundangan yang akan dikenakan terhadapnya.

Dia mengakui kesilapan itu tidak disengajakan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku pada Sabtu lalu.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengarahkan Pemuda DAP seluruh negara membuat laporan polis terhadap Akmal susulan demonstrasi semalam.

Menurut Loke, laporan dibuat terhadap Akmal bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan, serta seksyen baharu dalam menangani kegiatan buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan 507C Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.