Warisan bukan lagi parti tempatan, kata bekas pemimpin

Warisan bukan lagi parti tempatan, kata bekas pemimpin

Norazlinah Arif berkata Shafie Apdal bercita-cita menjadi perdana menteri apabila melebarkan sayap Warisan ke Semenanjung secara rasmi pada 2021.

Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung pada 17 Dis 2021. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Warisan tidak lagi boleh mendakwa ia parti tempatan Sabah susulan tindakannya melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia, hampir empat tahun lalu, kata bekas pemimpinnya Norazlinah Arif.
Norazlinah Arif
Norazlinah Arif.

Bekas ketua Wanita Warisan berkata, langkah itu yang disifatkan strategi mengangkat Presiden Shafie Apdal sebagai perdana menteri.

Adun Kunak mendakwa, cita-cita itu dibuat sedangkan ada kelemahan pada pengurusan pentadbiran Sabah ketika Shafie menjadi ketua menteri dari  Mei 2018 hingga September 2020.

“Sabah belum dapat urus ada hati pula mahu pergi Semenanjung.

“Cita-citanya jauh lebih besar daripada setakat di Sabah sahaja,” katanya dalam temu bual FMT.

Setahun selepas kalah PRN Sabah, Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung secara rasmi pada 17 Dis 2021 dengan Shafie berjanji ‘menjadi perdana menteri untuk semua’ jika menang PRU15.

Ahli Parlimen Semporna itu dipetik berkata, sudah tiba masa melakukan perubahan dalam landskap politik negara dengan menumpukan kesepaduan semua kaum.

Parti itu bertanding enam kerusi pada PRN Johor yang berlangsung Mac 2022 manakala mempertaruhkan 24 calon Parlimen dan 16 DUN di negeri lain di Semenanjung pada PRU15.

Namun, semuanya tewas termasuk bekas menteri pengangkutan Ong Tee Keat yang juga mantan presiden MCA di Pandan.

Warisan turut mencatatkan prestasi merosot di Sabah pada pilihan raya berlangsung November 2022 itu, apabila hanya dapat mempertahankan tiga kerusi Parlimen berbanding lapan dimenangi lima tahun sebelumnya.

Timbalan Presiden Darell Leiking kalah di Penampang manakala Ketua Penerangan Azis Jamman gagal pertahan Sepanggar.

Mohammad Mohamarin
Mohammad Mohamarin.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mohammad Mohamarin, pula mendakwa perluasan sayap ke ke Semenanjung kurang disenangi segelintir pemimpin parti.

Beliau memberi contoh bekas naib presiden Peter Anthony yang bertindak keluar beberapa hari selepas pelancaran bahagian parti itu ke Malaysia Barat.

“Dahulu Warisan melaung-laungkannya sebagai parti tempatan dan lebih memperjuangkan rakyat.

“Tetapi kini Warisan tidak lagi, jadi ke depannya saya berpandangan mereka tidak akan mendominasi politik Sabah,” kata Adun Banggi yang keluar Warisan pada 6 Feb 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.