Petronas kekal milik persekutuan, libat penyertaan negeri melalui kerjasama strategik

Petronas kekal milik persekutuan, libat penyertaan negeri melalui kerjasama strategik

Azalina Othman Said berkata, pendekatan semasa bolehkan negeri pengeluar terima manfaat langsung daripada industri petroleum.

Petronas
Kerajaan persekutuan pada masa ini merupakan pemilik tunggal Petronas yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat minyak dan gas negara, kata Azalina Othman Said.
KUALA LUMPUR:
Pemilikan Petronas kekal di bawah kerajaan persekutuan, namun pendekatan memperkukuh penyertaan negeri-negeri melalui platform kerjasama strategik, pelaksanaan projek bersama dan penglibatan dalam rantaian nilai adalah sejajar dengan struktur persekutuan yang inklusif, selain memastikan kesinambungan manfaat buat semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, kerajaan persekutuan pada masa ini merupakan pemilik tunggal Petronas yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat minyak dan gas negara.

“Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) mengamanahkan Petronas dengan pemunyaan mengenai petroleum, dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif bagi meneroka, mengurus dan membangunkan sumber petroleum negara, sama ada di daratan, di pantai atau di luar pantai Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) yang bertanya jika kerajaan mempertimbangkan untuk mengagihkan 50% saham pemilikan dalam Petronas kepada wilayah-wilayah serta negeri-negeri pengeluar minyak dan gas, iaitu Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan.

Menurut Jeffrey, ini merupakan langkah fundamental untuk memperkukuh Persekutuan Malaysia agar bergerak maju ke hadapan sambil meredakan pempolitikan, termasuk perasaan tidak puas hati berhubung hak minyak dan gas.

Azalina berkata, walaupun pemilikan Petronas berpusat di bawah kerajaan persekutuan, pendekatan yang diguna pakai ketika ini membolehkan negeri-negeri pengeluar menerima manfaat langsung daripada industri petroleum melalui bayaran tunai dan pelbagai bentuk kerjasama komersial.

Pada masa sama, hasil keseluruhan daripada sektor ini turut diagihkan secara saksama ke seluruh negara, selaras dengan keperluan pembangunan negara, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.