Pesawat AirAsia tersalah mendarat di Korea Selatan

Pesawat AirAsia tersalah mendarat di Korea Selatan

Penerbangan D7 506 mendarat di lapangan terbang Gimpo, bukan di Incheon seperti yang dijadualkan.

Walaupun insiden itu didakwa berpunca daripada ‘gelora udara’ yang memaksa pesawat dilencongkan, cara pengendalian situasi tersebut cetus kemarahan penumpang. (Gambar Air Asia)
PETALING JAYA:
Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dikecam hebat selepas sebuah pesawatnya yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Korea Selatan mendarat di lapangan terbang yang salah.

Korea Herald melaporkan, penerbangan D7 506 itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo, bukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon seperti yang dijadualkan.

Walaupun insiden itu didakwa berpunca daripada ‘gelora udara’ yang memaksa pesawat dilencongkan, cara pengendalian situasi tersebut mencetuskan kemarahan penumpang.

Para penumpang mendakwa, kapten pesawat pada mulanya mengumumkan mereka telah tiba di Incheon, sebelum menyedari lokasi sebenar di Gimpo selepas memeriksa persekitaran dan telefon bimbit mereka.

Seorang penumpang dikenali sebagai Lee Mi-hyun mendakwa, kru kabin sendiri tidak menyedari mereka telah mendarat di Gimpo ‘sehinggalah dimaklumkan oleh penumpang’.

“Seorang kru kabin malah beritahu dia perlu hubungi ibu bapanya yang sedang menunggu di lapangan terbang Incheon,” katanya menambah, insiden itu turut ‘mencetuskan panik’.

Beliau turut mendakwa, kru gagal mengawal keadaan sepanjang tempoh dua jam pesawat itu terkandas sebelum dibenarkan berlepas semula ke Incheon.

Menurutnya, penumpang yang terkandas tidak dihulurkan air minuman, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka yang membawa anak-anak.

“Malah ada yang menyuarakan hasrat untuk turun di Gimpo sahaja sebelum pesawat itu terbang semula ke Incheon,” katanya.

Menurut Lee, kapten dan kru penerbangan membuat permohonan maaf menerusi sistem siar raya ketika pesawat kembali menuju ke Incheon.

Dalam pada itu, penumpang lain membidas syarikat penerbangan tersebut kerana gagal memberikan penjelasan yang sewajarnya.

Seorang lagi penumpang, dikenali sebagai Ryu, berkata tiada penjelasan jelas diberikan mengenai punca pendaratan yang salah itu, mahupun ‘sebarang usaha untuk meyakinkan semula para penumpang’ sepanjang dua jam menunggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.