Penuntut universiti didakwa laku khianat dengan api, sebabkan kematian warga emas

Penuntut universiti didakwa laku khianat dengan api, sebabkan kematian warga emas

Pelajar undang-undang Chew Hong Joe mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Chew Hong Joe
Chew Hong Joe, 21, didakwa di dua mahkamah berasingan di Segamat hari ini atas enam tuduhan keseluruhannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar jurusan undang-undang di sebuah universiti swasta hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Segamat atas lima tuduhan melakukan khianat dengan api dan satu tuduhan menyebabkan kematian seorang warga emas bulan lepas.

Chew Hong Joe, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rahimah Abd Majid, lapor Bernama.

Dia didakwa menggunakan minyak petrol dengan niat menyebabkan kerosakan pada harta, iaitu lima buah rumah, mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Chew turut didakwa menyebabkan kematian Tan Ah Gek, 72, mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Jalan Francis Khoo, Kampung Bukit Siput, Segamat, Johor pada 4 pagi, 25 Julai lepas.

Di mahkamah berasingan, Chew yang berdepan tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap dua individu dengan menampal notis pada pagar rumah dan rumah sembahyang, mengaku tidak bersalah ketika tuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Dhilip Nair.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan di Jalan Ria, Taman Ria, Segamat antara 4 hingga 6.45 pagi pada 25 Julai lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid dan Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj, manakala tertuduh diwakili peguam Harcharanjit Singh.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 29 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Mahkamah Sesyen tidak membenarkan Chew diikat jamin, manakala Mahkamah Majistret membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan yang dihadapi Chew.

Dilaporkan semalam, seorang lelaki diberkas bersama teman wanitanya selepas perbuatan khianatnya menyebabkan kematian seorang warga emas dalam kejadian kebakaran di Kampung Bukit Siput pada 25 Julai lepas.

Wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis dan akan menjadi saksi pendakwaan, manakala lelaki itu akan didakwa.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata, kedua-dua suspek mengaku diupah sindiket ‘along’ di Singapura untuk melakukan ugutan jenayah dengan khianat membakar rumah peminjam yang tidak membayar pinjaman.

Pasangan kekasih itu didapati bergiat aktif melakukan jenayah khianat di sekitar Johor dan Selangor sejak Julai lalu dengan bayaran upah RM1,000 untuk satu tugasan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.