Pembangkang sedia bantu kerajaan selesai isu Petronas, kata pemimpin Bersatu

Pembangkang sedia bantu kerajaan selesai isu Petronas, kata pemimpin Bersatu

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal cadang wakil pembangkang dimanfaatkan dalam rundingan selesai isu berimpak besar dihadapi Petronas.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kerajaan perlu telus supaya masalah Petronas dapat diatasi bersama.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan mengamalkan pendekatan ‘whole-of-government’ dengan melibatkan pembangkang bagi menyelesaikan isu berimpak besar dihadapi Petronas.

Beliau berkata, beberapa isu berisiko tinggi perlu diberi perhatian, termasuk pertikaian dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), kewujudan aset tidak menghasilkan pendapatan di Pengerang dan Kanada, serta gangguan pelaburan di Sudan Selatan.

Menurut ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, masalah itu boleh memberi kesan berantai, antaranya pengurangan tenaga kerja melalui penstrukturan semula diumumkan Petronas dua bulan lalu.

“Kerajaan boleh memanfaatkan pembangkang untuk berunding atau bekerjasama dalam bentuk lain. Namun, setakat ini tawaran kami belum disambut,” katanya pada sidang media di Parlimen.

“Kami juga berharap kerajaan bersikap telus dan terus terang supaya kita dapat bersama-sama membantu menyelesaikan masalah.”

Jun lalu, Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz, memaklumkan syarikat itu akan mengurangkan lebih 5,000 pekerja serta membekukan kenaikan pangkat dan pengambilan baharu sehingga Disember 2026.

Keuntungan Petronas dilaporkan merosot 32% pada 2024, selepas penurunan 21% pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pagi tadi berkata, sebahagian pemberhentian pekerja berpunca daripada pertindihan jawatan akibat penggunaan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI).

Katanya, proses penstrukturan semula itu juga membuka peluang kepada pekerja terlibat untuk mengisi jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.