LGM kerjasama Risda satukan tanah pekebun kecil

LGM kerjasama Risda satukan tanah pekebun kecil

Usaha itu sebagai langkah strategik mengurangkan kebergantungan negara kepada import getah.

kebun getah
Data mendapati hampir 95% pekebun kecil hanya memiliki kebun getah bersaiz dua hingga empat hektar dan kebanyakannya tidak lagi diusahakan secara aktif.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan bekerjasama dengan Risda dalam usaha menyatukan tanah milik pekebun kecil yang tidak diusahakan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

Katanya, usaha itu sebagai langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada import getah.

“Siapa ada tanah datang (pada kita) dan kita buatkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis kibar Jalur Gemilang dan Bulan Kemerdekaan kementerian di LGM.

Johari berkata, langkah itu penting memandangkan Malaysia yang dulunya pengeluar getah utama dunia, kini terpaksa mengimport lebih satu juta tan setahun untuk menampung permintaan industri.

“Kita akan teruskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), ada sektor-sektor komoditi ini akan ditekankan oleh kerajaan untuk membantu pekebun kecil untuk dapat menanam semula semua komoditi mereka supaya dapat menjadi sumber berterusan kepada negara,” katanya.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani dalam majlis kibar Jalur Gemilang dan Bulan Kemerdekaan di Lembaga Getah Malaysia.

Pada 14 Jun lalu, Johari berkata pihaknya sedang merangka strategi bagi menyatukan tanah getah berskala kecil milik pekebun untuk dijadikan ladang lebih besar yang diurus secara tersusun bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli.

Beliau berkata, pendekatan itu penting memandangkan Malaysia masih mengimport kira-kira RM7 bilion getah asli setiap tahun, sedangkan negara mempunyai kapasiti untuk mengeluarkannya sendiri.

Menurutnya, semakan data mendapati hampir 95% pekebun kecil hanya memiliki kebun getah bersaiz dua hingga empat hektar dan kebanyakannya tidak lagi diusahakan secara aktif.

Sementara itu, menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini Johari menekankan pentingnya kestabilan politik dalam memastikan pembangunan ekonomi dan sektor komoditi negara berjalan lancar.

“Jadi, negara ini telah dapat dibangunkan dengan begitu baik kerana kita mempunyai kestabilan politik.

“Sudah tentu kestabilan politik ini sangat penting oleh mana-mana negara untuk membangunkan ekonomi mereka kerana dengan adanya kestabilan politik maka kita boleh dapat membangunkan ekonomi dengan begitu baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.