
Katanya, pihak berkuasa memandang serius setiap isu berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Polis menasihati agar semua pihak terlibat membatalkan perhimpunan yang dimaksudkan,” katanya dalam kenyataan.
Khalid berkata, siasatan berkait isu kibar Jalur Gemilang terbalik yang tular baru-baru ini di negeri berkenaan sudah disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan 38 laporan diterima.
“Kertas siasatan telah dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya Pulau Pinang pada 11 Ogos dan kini sedang dalam penelitian pihak berkenaan.”
Sejak semalam, tular di media sosial mengenai jemputan untuk orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan.
Terdahulu, pemilik kedai perkakasan, Pang Chin Tian, 59, yang tular mengibar Jalur Gemilang terbalik berkata dia bersedia menerima sebarang tindakan perundangan yang akan dikenakan terhadapnya.
Dia mengakui kesilapan itu tidak disengajakan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku pada Sabtu lalu.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengucapkan penghargaan kepada Pemuda Bersatu untuk turut serta dalam perhimpunan itu, hari ini.
Dalam hantaran terbaharu di Facebook, Akmal turut berkongsi laporan berita mengenai kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail, antara lain menasihati orang ramai tidak menyertai himpunan tersebut.
“Kami datang nak tengok bendera besar dan makan nasi kandar,” katanya merujuk Jalur Gemilang gergasi ditaja DAP yang dipamerkan di premis kedai perkakasan berkenaan.