Filantropi tangani jurang pasaran, perkasa ekonomi Madani

Filantropi tangani jurang pasaran, perkasa ekonomi Madani

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan gesa sektor filantropi ambil risiko bagi pihak mereka yang tidak dapat dipenuhi oleh pasaran dan kerajaan.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berucap pada Forum Hasanah edisi ketiga. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Filantropi memainkan peranan penting dalam menangani jurang dalam pasaran dan mewujudkan pendekatan baharu untuk kesejahteraan sosial, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, Kerangka Ekonomi Madani yang memberi tumpuan kepada pembaharuan struktur seperti menambah baik prestasi pasaran buruh, meningkatkan pendapatan isi rumah, memacu kemampanan fiskal dan mempertingkat penyampaian kerajaan, memerlukan usaha bersepadu daripada semua sektor.

“Kerangka ini memerlukan semua sektor — kerajaan, industri swasta dan yang paling penting, sektor filantropi dan masyarakat sivil – bekerjasama secara erat. Filantropi memainkan peranan penting dalam menangani jurang yang tidak dapat dicapai oleh pasaran dan mewujudkan pendekatan baharu bagi kesejahteraan sosial.

“Bagaimanapun, kita perlu memastikan bahawa filantropi bukan bersifat ekstraktif, preskriptif tetapi responsif…berdasarkan apa yang masyarakat sendiri perlukan, impikan dan apa yang mereka mampu bina,” katanya dalam ucapan pada Forum Hasanah edisi ketiga.

Forum Hasanah, bertemakan ‘Philanthropy That Listens: Bridging Intent With Interventions’ telah menarik lebih 500 individu berpengaruh Malaysia selama dua hari bagi dialog yang berpandangan ke hadapan untuk memperkukuh daya tahan negara.

Dianjurkan Yayasan Hasanah, sebuah yayasan berasaskan impak bawah Khazanah Nasional, forum itu mempunyai misi merapatkan keutamaan negara dengan realiti masyarakat.

Amir turut menggesa sektor filantropi di Malaysia mengambil risiko bagi pihak mereka yang tidak dapat dipenuhi oleh pasaran dan kerajaan.

“Saya ingin mengingatkan sektor kerajaan, termasuk diri saya sendiri, bahawa peranan kita bukan untuk menentukan tetapi untuk memudah cara.

“Kita perlu meruntuhkan tembok pemisah antara kementerian. Kita mesti mewujudkan persekitaran yang menyokong pembiayaan bercampur, perkongsian awam-swasta-sosial dan reka bentuk dasar secara kolaboratif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.