Agong wajib ikut nasihat lembaga pengampunan, kata peguam

Agong wajib ikut nasihat lembaga pengampunan, kata peguam

Yeo Yang Poh, mewakili Majlis Peguam Malaysia berhujah pindaan memasukkan Artikel 40(1A) ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1994 telah mengubah kedudukan undang-undang.

Federal Court
Majlis Peguam Malaysia mohon Mahkamah Rayuan batal keputusan mahkamah rendah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dalam kes SRC International membabitkan Najib Razak.
PUTRAJAYA:
Yang di-Pertuan Agong terikat untuk menerima dan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1994, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguam Yeo Yang Poh, yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, berhujah selepas Artikel 40(1A) dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, hanya satu keputusan wujud dalam proses pengampunan iaitu keputusan oleh LPWP.

Peruntukan itu menetapkan Agong ‘hendaklah menerima dan bertindak mengikut’ nasihat dalam melaksanakan fungsi baginda di bawah perlembagaan atau undang-undang persekutuan.

“LPWP kini membuat keputusan bagi pihak Agong, selaras konsep raja berperlembagaan.

“Agong tidak lagi membuat keputusan kedua,” kata Yeo ketika prosiding rayuan Majlis Peguam untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman mencabar keputusan LPWP dalam kes SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Lim Chong Fong, Azhahari Kamal Ramli dan Leonard David Shim.

Pada 2 Feb 2024, LPWP mengumumkan hukuman penjara Najib yang sebelum ini 12 tahun dipendekkan kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Yeo, bersama barisan peguam Zainur Zakaria, Rajpal Singh Ghai dan Ahmad Amir Mahmood, berkata sebelum pindaan itu, keputusan peribadi Agong dianggap tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Selepas Artikel 40(1A), Agong tidak lagi mempunyai budi bicara peribadi. Tanpa budi bicara peribadi, tiada lagi keistimewaan prerogatif. Agong kini melaksanakan kuasa perlembagaan dengan menerima dan menguatkuasakan keputusan LPWP,” katanya.

Beliau menambah, perubahan perlembagaan itu meletakkan institusi raja di kedudukan yang bebas daripada pengaruh politik atau kecenderungan peribadi, dan keputusan badan berkanun seperti LPWP adalah tertakluk kepada semakan kehakiman.

Menurutnya, mahkamah sebelum ini berpandangan keputusan lembaga pengampunan tidak boleh dicabar, seperti dalam kes Sim Kie Chon lwn Superintendent of Pudu Prison & Ors pada 1985.

Pada November tahun lalu, Hakim Ahmad Kamal Shahid (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan keputusan Agong dan nasihat LPWP adalah satu proses tunggal yang berakhir dengan pemberian pengampunan.

Justeru, katanya, perkara yang ingin dibawa Majlis Peguam melalui semakan kehakiman tidak sesuai untuk diteliti mahkamah kerana kuasa pengampunan di bawah Artikel 42 Perlembagaan adalah pelaksanaan budi bicara peribadi Agong.

Majlis Peguam memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 26 April 2024 dengan menamakan LPWP dan Najib sebagai responden. Mereka memohon deklarasi bahawa keputusan LPWP pada 29 Jan mengurangkan separuh hukuman penjara dan denda Najib adalah tidak sah di sisi undang-undang serta bertentangan dengan Perlembagaan.

Najib disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022. Beliau memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili LPWP, manakala peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.

Kes ini ditangguhkan ke tarikh akan ditetapkan selepas pengurusan kes pada 18 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.