Afnan namakan 5 calon PM dari PN termasuk Hadi, Hamzah

Afnan namakan 5 calon PM dari PN termasuk Hadi, Hamzah

Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata komponen itu ada pemimpin berpengalaman dalam pentadbiran.

Abdul Hadi Awang Hamzah Zainudin Tuan Ibrahim Tuan Man
Hadi Awang, Hamzah Zainudin dan Tuan Ibrahim Tuan Man, tokoh dalam PN disenaraikan Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai calon perdana menteri.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Afnan Hamimi Taib Azamudden menamakan lima pemimpin komponen itu sebagai calon perdana menteri untuk PRU16 dengan Hamzah Zainudin dinamakan wakil tunggal dari Bersatu.

Bercakap dalam program audio siar Harakah Daily Dari Jalan Pahang, Afnan menamakan Presiden PAS Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua naib presiden iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar serta Idris Ahmad sebagai pilihan ke jawatan itu jika pembangkang menang PRU akan datang.

Hamzah, timbalan presiden Bersatu dinamakan Ahli Parlimen Alor Setar itu sebagai calon perdana menteri berpotensi jika mengambil kira keseluruhan pemimpin dari PN kerana kedudukannya sebagai ketua pembangkang.

“Kalau tanya saya, PAS lah sebab paling ramai Ahli Parlimen tetapi kalau tanya kepada PN saya kata ketua pembangkang, Hamzah.

“Kalau dari PAS, Marang (Hadi) pernah jadi menteri besar dan boleh jadi perdana menteri…timbalan presiden Kubang Kerian (Tuan Ibrahim) pun pernah dalam Kabinet.

“Naib presiden Ahli Parlimen Kemaman (Samsuri) sekarang jadi menteri besar Terengganu dan pernah ketuai kerajaan negeri boleh jadi perdana menteri, begitu juga Idris Ahmad (Bagan Serai) pernah jadi menteri,” katanya dalam program itu baru-baru ini.

Ahmad Samsuri Idris Ahmad
Ahmad Samsuri Mokhtar dan Idris Ahmad juga layak diangkat calon mengetuai Putrajaya, menurut Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Beliau berkata demikian ketika mengulas soal calon perdana menteri dari PN yang sering dibangkitkan masyarakat susulan penganjuran perhimpunan pembangkang di Kuala Lumpur, 26 Julai lalu.

Perhimpunan itu diadakan untuk mendesak Anwar Ibrahim turun dari kedudukannya sebagai perdana menteri.

Isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi PN pada PRU16 antara perkara sering dibangkitkan dan menimbulkan percanggahan membabitkan pemimpin komponen itu.

November tahun lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menafikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin disahkan sebagai calon rasmi PN untuk PRU16, sambil menegaskan partinya wajar mengetuai gabungan itu.

Namun, beberapa pemimpin dalam Bersatu dan Gerakan terus menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai calon utama perdana menteri mewakili PN.

Bagaimanapun, pada 29 Julai lalu Hashim mengatakan PN hanya akan memutuskan siapa yang bakal menjadi calon perdana menterinya selepas gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Mengulas lanjut, Afnan berkata cabaran besar menanti PN sebenarnya untuk membentuk pasukan yang kuat bagi mentadbir apabila menang pilihan raya.

Beliau turut mendakwa kekuatan PN juga membuka serangan daripada musuh termasuk melaga-lagakan PAS dan Bersatu dengan menimbulkan isu remeh seperti ketiadaan PAS pada pertemuan Muhyiddin dengan parti luar kerajaan untuk membentuk Barisan Pembangkang Bersatu, bulan lalu.

“Tiada masalah hubungan dalam kalangan Ahli Parlimen PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.