
Shafee berkata, mereka mungkin memanggil beberapa saksi, termasuk Terrirudin dan pegawai lain, untuk memberi keterangan sama ada melalui afidavit atau secara peribadi.
“Kita perlu buat penelitian fakta yang sangat rapi semasa perbicaraan semakan kehakiman,” katanya kepada pemberita selepas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, yang mengesahkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 6 Jan membenarkan Najib mengemukakan keterangan tambahan dan memerintahkan Mahkamah Tinggi untuk mendengar permohonan semakan kehakimannya.
Beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menggunakan penzahiran dan soal siasat dalam prosiding tersebut.
“Kita boleh mohon penzahiran, untuk pendedahan segera di mana adendum itu, dan apa yang berlaku kepada adendum yang tertangguh selama setahun setengah itu.
“Kita juga boleh soal siasat pihak lain untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya berlaku, mengapa adendum itu tidak dizahirkan begitu lama,” katanya.
Terdahulu, panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim memutuskan bahawa Najib boleh mengemukakan keterangan baharu mengenai titah adendum itu.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International.
Bekas perdana menteri itu pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang mula dijalani pada 23 Ogos 2022.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukumannya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta pada Januari 2024.
Najib kemudiannya mendakwa tahu tentang kewujudan titah adendum itu, yang menurutnya membenarkannya menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah.