
Dalam jawapan bertulis, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata jumlah itu meliputi kerja-kerja penyelenggaraan dan servis kamera serta sistem ‘back office’, selain mencetak saman AWAS.
Pada Januari lalu, The Edge melaporkan bahawa Infomina Bhd memperoleh kontrak tiga tahun bernilai RM22.35 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan bagi AWAS.
Menurut syarikat itu, kontrak tersebut merangkumi aplikasi ‘back-end’, infrastruktur pusat data, sistem pemulihan bencana, infrastruktur rangkaian dan sistem komunikasi.
Loke berkata sistem tersebut berjaya meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan jalan raya.
“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), kamera AWAS meningkatkan pematuhan sehingga 99% di lokasi ia dipasang,” katanya.
Beliau menjawab soalan Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang meminta penjelasan mengenai jumlah perbelanjaan bagi melaksanakan dan menyelenggara Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
AES diperkenalkan pada 2012 bagi mengurangkan kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah sebelum digantikan oleh AWAS lima tahun kemudian.