Projek penting masih perlu maklum balas awam, kata DBKL

Projek penting masih perlu maklum balas awam, kata DBKL

DBKL berkata, maklum balas awam diperlukan untuk cadangan pembangunan tertentu, seperti projek intensiti tinggi atau pembangunan tempoh terhad.

dbkl
DBKL berkata, pihaknya kekal komited untuk memastikan Kuala Lumpur dibangunkan secara tersusun, inklusif dan berdaya huni.
PETALING JAYA:
Peraturan perancangan baharu untuk Kuala Lumpur akan terus melibatkan konsultasi pihak berkepentingan, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL memaklumkan, walaupun bantahan rasmi terhadap Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) tidak lagi terpakai selepas pewartaannya pada 11 Jun, pihaknya kekal komited pada amalan perancangan terbaik melalui pelaksanaan Kaedah 3 Kaedah-Kaedah (Perancangan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Permohonan Untuk Kebenaran Perancangan) 2025, yang mewajibkan konsultasi pihak berkepentingan.

Pihak berkuasa tempatan itu menjelaskan, konsultasi sedemikian diperlukan untuk cadangan pembangunan tertentu, seperti projek berintensiti tinggi atau pembangunan bagi tempoh terhad, yang memerlukan pandangan awam sebelum kelulusan diberikan.

“Di samping itu, setiap projek pembangunan yang diluluskan di Kuala Lumpur diwajibkan melaksanakan ‘Communication Strategy’ yang merangkumi peringkat sebelum, semasa, dan selepas pembinaan,” katanya dalam kenyataan.

“Langkah ini memastikan pemaju mengadakan perjumpaan dengan penduduk sekitar untuk memberi penerangan jelas mengenai pembangunan yang akan dijalankan serta faedah yang akan dinikmati oleh komuniti setempat.”

DBKL menambah, langkah-langkah ini mencerminkan komitmen berterusannya terhadap penglibatan awam, ketelusan dan pembuatan keputusan yang inklusif dalam perancangan bandar.

DBKL berkata demikian menjawab kritikan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung pewartaan ‘rahsia’ Kaedah-Kaedah Perancangan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2025 yang dibuat pada 13 Jun dan berkuat kuasa tiga hari kemudian.

Kok berkata, kaedah-kaedah tersebut, yang menggantikan undang-undang perancangan berusia berdekad-dekad, melemahkan ketelusan dan mengehadkan bantahan awam terhadap projek pembangunan.

“DBKL kekal komited untuk memastikan Kuala Lumpur dibangunkan secara tersusun, inklusif dan berdaya huni, dengan pandangan masyarakat sebagai asas utama dalam proses perancangannya.”

DBKL juga menegaskan bahawa penyediaan PTKL 2040 dilaksanakan secara telus, menyeluruh, dan mengikut semua peruntukan undang-undang dengan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkepentingan untuk terlibat dan memberikan pandangan.

Katanya, DBKL melaksanakan pelbagai kaedah publisiti dan penerimaan pandangan awam bagi memastikan keterlibatan masyarakat secara meluas, selaras dengan Seksyen 14 dan 15 Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.

Menurutnya, tempoh publisiti awam bermula pada 31 Jan hingga 1 Mac 2024, dilanjutkan sebanyak dua kali sehingga 15 April 2024.

Sepanjang tempoh itu, DBKL membuat pameran tetap di Menara DBKL 1 dan Menara DBKL 3 serta pameran bergerak di 12 lokasi yang merangkumi semua kawasan Parlimen Kuala Lumpur termasuk 13 sesi taklimat kepada orang awam termasuk kepada Ahli Parlimen Kuala Lumpur.

Selain memenuhi keperluan undang-undang, DBKL turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus melebihi keperluan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.

Sebanyak 51 sesi dianjurkan, melibatkan 1,503 individu dan organisasi yang terdiri daripada ahli akademik, Ahli Parlimen, badan profesional, persatuan penduduk, agensi kerajaan, dan pihak berkuasa tempatan bersempadanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.