
Ketuanya, Hilman Idham, berkata sayap itu sedia bersama mana-mana pihak demi mempertahankan kedaulatan dan martabat negara, merentasi politik kepartian.
Tegasnya, seruan mempertahankan Jalur Gemilang adalah ‘semboyan penyatuan kebangsaan’ dan kebersamaan rakyat harus digembleng demi mempertahankan panji tanah air.
“Atas semangat solidariti rakyat merentasi politik kepartian, Pemuda Bersatu akan turun bersama Pemuda Umno di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos (esok).
“Kami menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan memastikan himpunan ini berlangsung secara aman dan penuh semangat patriotisme yang tulen,” katanya dalam kenyataan.
Hilman turut menyelar pihak yang membela tindakan salah mengibar bendera Malaysia secara terbalik, malah menggelar pihak yang mengkritik tindakan itu sebagai pembuli.
“Puak ini cuba mengalihkan isu daripada perkara pokok. Mereka menyerang peribadi, berselindung disebalik perkataan ‘keamanan dan keharmonian’ serta ‘rukun negara’.
“Jangan peralat dan mencemarkan ‘patriotisme’ untuk membela sikap dan tindakan yang salah,” katanya.
Semalam, dalam kenyataan bersama, Ketua Pemuda Umno Pokok Sena Mohd Farhan Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Kulim Mohd Khairul Azam Alis menyeru anak muda di seluruh negara hadir ke perhimpunan solidariti itu sebagai tanda mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
Menurut mereka, himpunan berkenaan bukan sekadar pertemuan biasa, sebaliknya simbol kebangkitan suara anak muda yang menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan meremehkan Jalur Gemilang.
Perhimpunan itu membawa slogan ‘Bangkit! Bersatu! Demi Jalur Gemilang!’.
Perkembangan itu menyusul selepas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh lantang mengecam pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dan mahu ke kedai berkenaan untuk mengajar pemiliknya cara memasang bendera dengan betul.
Namun, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menggesa semua pihak ‘tidak menangguk di air keruh’ susulan isu itu, malah menegaskan tindakan seperti mengugut untuk mengadakan protes atau mengajar orang lain mengibar bendera adalah perbuatan membuli.