PDA tidak boleh atasi undang-undang berkaitan di Sarawak, tegas senator

PDA tidak boleh atasi undang-undang berkaitan di Sarawak, tegas senator

Ahmad Ibrahim kata Sarawak mengeluarkan minyak dan gas sejak penemuan di Miri pada 1910.

petronas oil refinery
Senator Ahmad Ibrahim persoal kenyataan menteri persekutuan bahawa hak Petronas ke atas sumber minyak dan gas di Sarawak dilindungi PDA. (Gambar Petronas)
PETALING JAYA:
Seorang senator mempersoalkan kenyataan seorang menteri persekutuan dengan menegaskan bahawa Akta Kemajuan Petroleum (PDA) tidak boleh mengatasi undang-undang berkaitan di Sarawak, terutama Ordinan Perlombongan Minyak (OMO).

Ahmad Ibrahim berkata Sarawak mengeluarkan minyak dan gas sejak penemuan di Miri pada 1910, iaitu 53 tahun sebelum pembentukan Malaysia, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak.

Ahmad menjelaskan Sarawak membangunkan industri tersebut bawah undang-undang sendiri sebelum PDA digubal.

Selain PDA, beliau menyenaraikan undang-undang lain termasuk Ordinan Pengagihan Gas (DGO), Kanun Tanah Sarawak, dan rejim Cukai Jualan Negeri.

Beliau menyatakan Seksyen 73 Akta Malaysia memelihara semua undang-undang negeri yang berkuat kuasa sebelum Malaysia dibentuk, termasuk OMO.

Selain itu, ordinan tersebut, selepas pindaan pada 2018, memberikan kuasa penuh kepada negeri ke atas perlesenan petroleum di darat dan di pelantar benua.

“PDA terpakai sepenuhnya di negeri-negeri yang tidak mempunyai undang-undang petroleum sendiri seperti OMO, dan oleh itu, di negeri-negeri tersebut, Petronas pengagregat tunggal minyak dan gas,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, dilapor berkata hak syarikat minyak nasional itu ke atas sumber minyak dan gas di Sarawak kekal dilindungi bawah PDA.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Azalina berkata PDA akan terus berkuat kuasa, selaras peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Kemajuan Petroleum, Petronas diletakhakkan dengan pemunyaan mengenai petroleum, dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif untuk mengeksplorasi, mengeksploit, mendapatkan dan memperoleh petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai Malaysia,” katanya.

Ahmad berkata di bawah DGO, Sarawak mempunyai kuasa eksklusif untuk memberi lesen dan mengawal selia pengagihan gas domestik, dengan syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan persekutuan sebagai pengagregat gas tunggal untuk pasaran domestik Sarawak, tidak termasuk gas asli cecair.

Mengenai Cukai Jualan Negeri, beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi pada 2020 mengesahkan hak Sarawak untuk mengenakan cukai tersebut ke atas produk petroleum, dengan Petronas menarik balik rayuan dan menjelaskan tunggakan.

Pada 5 Februari, Azalina berkata Sarawak menerima bahawa PDA, bukannya ordinan negeri, mengawal operasi sektor petroleum Malaysia.

Beliau berkata penerimaan Sarawak antara perkara utama yang dipersetujui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg semasa mesyuarat pada 7 Januari.

Pada 7 Februari, Anwar berkata kerajaan persekutuan dan Sarawak bersetuju bahawa Petronas dan anak syarikatnya mengekalkan semua obligasi kontrak sedia ada, domestik dan antarabangsa.

Bagaimanapun, untuk memenuhi aspirasi Sarawak dalam sektor minyak dan gas, telah dipersetujui bahawa DGO akan berkuat kuasa pada 1 Mac, katanya.

“DGO akan dibaca bersama dengan PDA, dan oleh itu Petros akan bertindak sebagai pengagregat Sarawak,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas Abang Johari menegaskan semula hujah bahawa Sarawak mempunyai kuasa kawal selia ke atas aktiviti minyak dan gas di dalam wilayahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.